1 TESALONIKA 5:9-28

1 TESALONIKA 5:9-28 BM

Allah memilih kita bukannya untuk mengalami kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Yesus mati untuk kita supaya kita boleh hidup bersama-sama Dia pada waktu Dia datang kelak, baik kita masih hidup ataupun telah mati pada waktu itu. Oleh itu, hendaklah kamu saling menggalakkan dan saling menguatkan, seperti yang kamu lakukan sekarang ini. Saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya menghormati mereka yang bekerja di kalangan kamu. Mereka memimpin dan menasihati kamu dalam kehidupan kamu sebagai orang Kristian. Perlakukanlah mereka dengan penuh hormat dan kasihilah mereka, kerana semuanya yang dilakukan oleh mereka. Hendaklah kamu hidup rukun. Saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya memberikan amaran kepada orang yang malas bekerja, menabahkan hati orang yang takut, menolong orang yang perlu ditolong, dan bersabar terhadap semua orang. Janganlah seorang pun membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi kamu harus sentiasa berusaha untuk saling berbuat baik dan menolong semua orang. Hendaklah kamu sentiasa bersukacita, dan berdoalah sentiasa. Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Janganlah halang Roh Allah. Janganlah hina perkhabaran-perkhabaran yang diberikan oleh Roh Allah. Pertimbangkan semuanya; ikutlah apa yang baik, dan jauhilah segala macam kejahatan. Semoga Allah yang mengurniai kita kesejahteraan, menjadikan kamu sungguh-sungguh hidup khas untuk Allah. Semoga Allah menjaga roh, jiwa, dan tubuh kamu, sehingga tidak bercacat cela pada masa Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. Allah yang memanggil kamu akan melakukan hal itu, kerana Dia setia. Doakanlah kami, saudara-saudara seiman. Bersalamanlah dengan mesra sebagai saudara Kristian. Dengan kuasa Tuhan, aku menggesa kamu supaya membacakan surat ini kepada semua saudara seiman. Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua.