1 SAMUEL 9:3-20

1 SAMUEL 9:3-20 BM

Pada suatu hari, beberapa ekor keldai kepunyaan Kish hilang. Oleh itu dia berkata kepada Saul, “Bawalah salah seorang hamba bersama-samamu dan pergilah cari keldai itu.” Kemudian Saul dan hambanya menjelajahi kawasan perbukitan Efraim dan kawasan Salisa, tetapi mereka tidak menjumpai keldai-keldai itu. Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke daerah Sahalim, tetapi keldai-keldai itu tidak ada di sana. Mereka mencari pula di wilayah Benyamin, tetapi keldai-keldai itu masih tidak dijumpai. Apabila mereka sampai di daerah Zuf, Saul berkata kepada hambanya, “Marilah kita pulang, jangan-jangan ayah lebih cemas memikirkan kita daripada keldai-keldai itu.” Hambanya menjawab, “Tunggu dulu! Di kota ini ada seorang hamba Allah. Dia sangat dihormati orang kerana apa sahaja yang dikatakannya selalu benar-benar terjadi. Marilah kita pergi berjumpa dengan dia. Barangkali dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu.” Saul berkata, “Jika kita pergi berjumpa dengan dia, apakah yang dapat kita berikan kepadanya? Bekal yang kita bawa sudah habis, dan kita tidak punya apa-apa untuk diberikan kepada hamba Allah itu, bukan?” Hamba itu menjawab, “Saya mempunyai sekeping wang perak. Saya boleh memberikan wang ini kepada hamba Allah itu, supaya dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu.” “Baiklah!” jawab Saul. “Marilah kita pergi.” Lalu mereka pergi ke kota, tempat hamba Allah itu tinggal. Ketika mereka mendaki bukit menuju ke kota itu, mereka berjumpa dengan beberapa orang gadis yang hendak menimba air di perigi. Mereka bertanya kepada gadis-gadis itu, “Adakah pelihat itu berada di kota?” (Pada zaman itu, seorang nabi disebut pelihat. Oleh itu apabila seseorang hendak menanyakan sesuatu kepada Allah, mereka berkata, “Marilah kita pergi kepada pelihat.”) “Ada,” jawab gadis-gadis itu. “Dia baru saja berjalan mendahului kamu. Jika kamu cepat, mungkin kamu boleh menyusul dia. Sebaik saja kamu sampai di kota, kamu akan menjumpai dia. Dia baru datang ke kota kerana pada hari ini, rakyat akan mempersembahkan korban di atas mazbah di bukit. Para jemputan tidak akan makan sebelum dia datang, kerana dia mesti memberkati korban itu dahulu. Jika kamu pergi sekarang, kamu akan sempat menjumpainya sebelum dia mendaki bukit untuk makan.” Oleh itu Saul dan hambanya pergi ke kota. Ketika mereka masuk pintu gerbang, mereka berpapasan dengan Samuel yang sedang berjalan menuju ke tempat ibadat di bukit. Sehari sebelum itu, TUHAN telah berfirman kepada Samuel, “Esok pagi kira-kira waktu begini, Aku akan mengutus seorang lelaki daripada suku Benyamin berjumpa dengan engkau. Lumurilah kepalanya dengan minyak sebagai tanda untuk melantiknya menjadi raja umat-Ku Israel. Dia akan membebaskan umat-Ku daripada orang Filistin. Aku sudah melihat penderitaan umat-Ku, dan Aku sudah mendengar tangisan mereka minta tolong.” Apabila Samuel nampak Saul, TUHAN berfirman kepadanya, “Inilah orang yang Kukatakan itu. Dia akan memerintah umat-Ku.” Sementara itu Saul menghampiri Samuel dekat pintu gerbang, lalu bertanya, “Maaf, tuan, di manakah rumah pelihat itu?” Samuel menjawab, “Sayalah dia. Pergilah mendahului saya ke tempat ibadat di bukit, kerana pada hari ini kamu akan makan bersama-sama saya. Esok pagi, saya akan menjawab segala pertanyaan kamu. Setelah itu bolehlah kamu pulang. Jangan khuatir tentang keldai yang hilang tiga hari dahulu. Keldai-keldai itu sudah dijumpai. Lagipun, yang paling diingini oleh umat Israel ialah kamu; kamu dan keluarga bapamu.”