Seorang daripada suku Benyamin lari dari medan peperangan lalu pergi ke Silo. Dia tiba di Silo pada hari itu juga. Dia sudah mengoyak-ngoyakkan pakaiannya dan menaruh tanah di atas kepala sebagai tanda berdukacita. Eli, yang sangat cemas memikirkan keselamatan Tabut Perjanjian itu sedang duduk di atas kerusi di tepi jalan, sambil termenung. Apabila orang itu menyebarkan berita kekalahan Israel di seluruh kota, semua orang menangis dengan kuat. Eli mendengar keriuhan itu, lalu bertanya, “Keriuhan apakah itu?” Sementara itu orang tadi berlari kepada Eli dan menyampaikan berita buruk itu. Pada masa itu Eli sudah berumur sembilan puluh lapan tahun dan dia hampir buta. Orang itu berkata kepada Eli, “Saya lari dari medan peperangan hari ini dan baru saja sampai.” Eli bertanya kepadanya, “Apa khabar, hai anakku?” Pembawa khabar itu menjawab, “Tentera Israel lari daripada tentera Filistin. Kita mengalami kekalahan yang teruk sekali. Banyak orang terbunuh, termasuk kedua-dua orang anak tuan, Hofni dan Pinehas. Tabut Perjanjian Allah juga dirampas musuh!” Apabila orang itu menyebut tentang Tabut Perjanjian, Eli jatuh terlentang dari kerusinya, di tepi pintu gerbang. Dia sangat tua dan gemuk, sehingga apabila dia jatuh lehernya patah. Ketika itu juga dia meninggal. Dia menjadi pemimpin Israel selama empat puluh tahun. Pada masa itu, menantu Eli, iaitu isteri Pinehas, sedang mengandung dan telah hampir masanya untuk bersalin. Apabila dia mendengar bahawa Tabut Perjanjian Allah sudah dirampas dan bapa mentuanya serta suaminya sudah meninggal, tiba-tiba dia berasa sakit beranak, lalu tidak lama kemudian dia bersalin. Apabila dia sudah hampir meninggal, wanita-wanita yang menolong dia berkata kepadanya, “Tabahlah! Anakmu lelaki!” Namun dia tidak menjawab atau memperhatikan mereka. Dia menamakan anak itu Ikabod. Katanya, “Israel sudah kehilangan kemuliaan Allah.” Dia berkata demikian kerana Tabut Perjanjian sudah dirampas dan bapa mentuanya serta suaminya sudah meninggal. Dia berkata, “Kemuliaan Allah sudah meninggalkan Israel, kerana Tabut Perjanjian Allah sudah dirampas.”
Baca 1 SAMUEL 4
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: 1 SAMUEL 4:12-22
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video