1 SAMUEL 30

30
Perang Melawan Orang Amalek
1Dua hari kemudian, Daud dan anak buahnya tiba di Ziklag. Orang Amalek sudah merompak bahagian selatan negeri Yehuda lalu menyerang Ziklag. Mereka membakar kota Ziklag, 2dan menawan semua kaum wanita. Mereka belum membunuh sesiapa pun, tetapi mereka telah melarikan setiap orang ketika mereka meninggalkan kota itu. 3Apabila Daud dan anak buahnya tiba di sana, mereka mendapati kota itu sudah dibakar dan anak isteri mereka telah dilarikan musuh. 4Daud dan anak buahnya menangis dengan pilu dan tidak berhenti-henti sehingga mereka tidak dapat menangis lagi. 5 Kedua-dua orang isteri Daud, Ahinoam dan Abigail, sudah dilarikan juga.
6Kini Daud dalam kesusahan besar. Anak buahnya marah terhadapnya kerana mereka sudah kehilangan anak isteri. Mereka mengancam untuk merejam Daud, tetapi TUHAN Allahnya menguatkan hatinya. 7 Daud berkata kepada Imam Abyatar anak Ahimelekh, “Bawalah efod itu kepadaku.” Abyatar pun membawa efod itu kepada Daud. 8Kemudian Daud bertanya kepada TUHAN, “Haruskah aku mengejar perompak-perompak itu? Dapatkah aku menangkap mereka?”
TUHAN menjawab, “Kejarlah mereka. Engkau akan menyusul mereka dan menyelamatkan orang tawanan.”
9Oleh itu Daud bersama dengan enam ratus orang anak buahnya berangkat. Apabila mereka sampai di Sungai Besor, sebilangan daripada mereka berhenti di situ. 10Daud dengan empat ratus orangnya meneruskan perjalanan. Dua ratus orang yang lain terlalu penat untuk menyeberang sungai, lalu mereka berhenti di situ. 11Dalam perjalanan itu anak buah Daud bertemu dengan seorang budak lelaki bangsa Mesir di padang, lalu budak itu dibawa kepada Daud. Dia diberikan makanan dan minuman, 12dan juga beberapa ketul kuih ara dan dua rangkai kismis. Setelah dia makan, dia menjadi kuat semula; ternyata sudah tiga hari dia tidak makan atau minum! 13Kemudian Daud bertanya kepadanya, “Siapakah tuanmu? Dari manakah kamu?”
Budak itu menjawab, “Saya orang Mesir, hamba seorang Amalek. Tuan saya meninggalkan saya tiga hari yang lalu kerana saya sakit. 14Kami sudah menyerbu kawasan orang Kreti di bahagian selatan Yehuda dan kawasan puak Kaleb, dan juga membakar habis kota Ziklag.”
15Daud bertanya kepadanya, “Mahukah kamu membawa kami ke tempat gerombolan itu?”
“Saya mahu,” jawabnya. “Tetapi tuan mesti bersumpah demi Allah bahawa tuan tidak akan membunuh saya ataupun menyerahkan saya kepada tuan saya.” 16Lalu dia menghantar Daud ke tempat gerombolan itu.
Gerombolan itu terpencar di sana sini, di seluruh tempat itu. Mereka sedang makan minum dan bersuka-suka kerana banyak harta yang dirampas oleh mereka dari negeri orang Filistin dan Yehuda. 17Pada waktu fajar menyingsing keesokan harinya, mereka diserang oleh Daud dan pertempuran berlangsung sampai malam. Selain empat ratus orang muda yang melarikan diri dengan menunggang unta, tidak seorang pun antara musuh yang dapat melarikan diri. 18Daud berjaya mengambil semula semua yang dirampas oleh orang Amalek, termasuk kedua-dua orang isterinya; 19tiada suatu apa pun yang hilang. Daud mendapatkan semula semua anak lelaki dan anak perempuan anak buahnya, serta segala sesuatu yang sudah dijarah oleh orang Amalek. 20Di samping itu Daud juga merampas balik semua domba dan ternakan lain. Ternakan itu digiring oleh anak buah Daud di hadapan, terpisah daripada barang rampasan yang lain. Kemudian mereka berkata, “Ini bahagian Daud!”
21Setelah itu Daud kembali kepada dua ratus orang yang terlalu penat untuk mengikuti dia, dan yang sudah ditinggalkan di pinggir Sungai Besor. Mereka menyambut Daud serta anak buahnya, lalu Daud menghampiri mereka dan memberikan salam kepada mereka. 22Tetapi di kalangan anak buah Daud yang mengikuti dia, ada yang jahat dan tamak. Mereka berkata, “Semua orang ini tidak ikut, kerana itu mereka tidak berhak mendapat apa-apa daripada barang jarahan. Mereka hanya boleh mengambil anak isteri mereka, lalu pergi.”
23Tetapi Daud berkata, “Hai saudara-saudaraku, janganlah berbuat demikian dengan apa yang sudah diberikan TUHAN kepada kita. Dia sudah memelihara kita dan memberi kita kemenangan terhadap gerombolan perompak itu. 24Tiada seorang pun dapat menyetujui pendapat kamu itu. Semua orang mesti mendapat bahagian yang sama banyaknya: orang yang tinggal untuk menjaga barang-barang mesti mendapat bahagian yang sama seperti orang yang maju berperang.” 25Daud menjadikan ketetapan itu satu peraturan, dan sejak itu peraturan itu ditaati di Israel sampai sekarang.
26Ketika Daud pulang ke Ziklag, dia menghantar sebahagian daripada barang jarahan itu kepada sahabat-sahabatnya, iaitu para pemimpin Yehuda, dengan pesan, “Terimalah hadiah ini daripada barang jarahan yang kami ambil daripada musuh TUHAN.” 27-31Mereka dari kota-kota berikut: Betel dan Rama di bahagian selatan Yehuda, Yatir, Aroer, Sifmot, Estemoa, Rakhal, dan juga kota-kota orang Yerahmeel, kota-kota orang Keni, Horma, Bor-Asan, Atakh, dan Hebron. Daud mengirim hadiah itu kepada semua kota tempat Daud dan anak buahnya pernah mengembara.

Terpilih Sekarang Ini:

1 SAMUEL 30: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk