1 SAMUEL 3

3
TUHAN Menampakkan Diri kepada Samuel
1Sementara itu, Samuel yang masih kanak-kanak, sedang mengabdi kepada TUHAN di bawah pengawasan Eli. Pada masa itu jarang sekali ada firman dan penglihatan daripada TUHAN. 2Pada suatu malam, Eli yang sudah sangat tua dan hampir buta, sedang tidur di biliknya. 3Pada masa itu Samuel tidur di dalam rumah TUHAN, tempat letaknya Tabut Perjanjian Allah. Sebelum fajar, ketika pelita di atas mazbah masih menyala, 4TUHAN memanggil Samuel. Samuel menjawab, “Ya tuan!” 5Kemudian dia lari kepada Eli dan berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.”
Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau. Pergilah tidur.” Lalu Samuel pergi tidur semula.
6-7Kemudian TUHAN memanggil Samuel lagi. Samuel tidak tahu bahawa yang memanggilnya itu TUHAN, kerana belum pernah TUHAN berfirman kepadanya. Oleh itu dia bangun dan pergi kepada Eli, dan berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.”
Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau, anakku. Pergilah tidur.”
8TUHAN memanggil Samuel pada kali ketiga, lalu Samuel bangun dan pergi kepada Eli. Dia berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.”
Kemudian Eli sedar bahawa TUHAN yang memanggil anak itu. 9Oleh itu Eli berkata kepada Samuel, “Pergilah tidur. Jika engkau dipanggil lagi, jawablah, ‘Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar.’ ” Lalu Samuel balik ke tempat tidurnya.
10Kemudian TUHAN datang dan berdiri di tempat itu serta memanggil dia lagi, “Samuel! Samuel!”
Samuel menjawab, “Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar.”
11TUHAN berfirman kepadanya, “Aku akan melakukan suatu perkara yang dahsyat terhadap umat Israel, sehingga tiap-tiap orang yang mendengarnya akan terpegun. 12Pada hari itu Aku akan melaksanakan segala ancaman-Ku terhadap keluarga Eli, dari mula sampai akhir. 13Aku sudah memberitahu dia bahawa Aku akan menghukum keluarganya untuk selama-lamanya, kerana anak-anaknya telah menghina Aku. Eli tahu akan perbuatan mereka itu, tetapi dia tidak melarang mereka. 14Oleh itu Aku bersumpah kepada keluarga Eli, bahawa untuk selama-lamanya tiada korban atau persembahan apa pun yang akan dapat menghapuskan dosa yang dahsyat itu.”
15Selepas itu Samuel berbaring di tempat tidurnya sampai pagi. Kemudian dia bangun lalu membuka pintu-pintu rumah TUHAN. Dia takut memberitahu Eli tentang penglihatan itu, 16tetapi Eli memanggil dia, “Samuel, anakku!”
“Ya tuan,” sahut Samuel.
17Eli bertanya, “Apakah yang difirmankan TUHAN kepadamu? Ceritakanlah segalanya kepadaku. Jika ada sesuatu yang engkau rahsiakan, tentu engkau akan dihukum dengan berat oleh Allah.” 18Oleh itu Samuel menceritakan segala-galanya. Dia tidak merahsiakan apa-apa pun. Kemudian Eli berkata, “Dialah TUHAN; biarlah Dia melakukan apa yang dianggap-Nya baik.”
19Samuel bertambah besar. TUHAN menyertai dia dan membuat segala yang dikatakan Samuel benar-benar berlaku. 20Maka segenap umat Israel dari seluruh negeri itu mengakui bahawa Samuel ialah nabi TUHAN. 21TUHAN terus menampakkan diri di Silo. Di situlah Dia telah menampakkan diri kepada Samuel dan berfirman kepadanya.

Terpilih Sekarang Ini:

1 SAMUEL 3: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk