1 SAMUEL 28:3-10

1 SAMUEL 28:3-10 BM

Samuel sudah meninggal dan dia diratapi oleh semua orang Israel, lalu dikebumikan di Rama, kotanya. Beberapa waktu yang lalu Raja Saul telah mengusir semua peramal dan pemanggil arwah dari Israel. Tentera Filistin berkumpul dan berkhemah dekat kota Sunem. Raja Saul mengumpulkan tentera Israel, lalu mereka berkhemah di Gunung Gilboa. Apabila Raja Saul nampak angkatan perang Filistin, baginda sangat ketakutan. Baginda bertanya kepada TUHAN tentang apa yang harus dilakukannya. Tetapi TUHAN tidak menjawab, baik dengan mimpi, mahupun dengan Urim dan Tumim, ataupun dengan perantaraan nabi. Oleh itu Raja Saul bertitah kepada para pegawainya, “Carilah seorang perempuan pemanggil arwah. Beta hendak bertemu dengan dia untuk meminta petunjuk.” Mereka menjawab, “Di En-Dor ada seorang pemanggil arwah.” Oleh itu Raja Saul menyamar supaya tidak dikenali orang. Baginda mengenakan pakaian lain. Dengan diiringi oleh dua orang lelaki, Raja Saul berangkat pada malam hari. Mereka sampai di rumah pemanggil arwah itu, lalu Raja Saul bertitah, “Panggillah arwah orang yang akan kusebut namanya, dan mintalah supaya dia meramalkan apa yang akan terjadi.” Perempuan itu menjawab, “Tentu tuan pun tahu bahawa Raja Saul sudah memaksa semua peramal dan pemanggil arwah untuk meninggalkan Israel. Mengapa tuan mencuba mencelakakan saya sehingga saya dibunuh?” Kemudian Raja Saul bersumpah, “Demi TUHAN yang hidup, aku berjanji bahawa kamu tidak akan dihukum kerana melakukan perkara ini.”