1 SAMUEL 24:1-10

1 SAMUEL 24:1-10 BM

Kemudian Daud pergi ke kawasan En-Gedi dan bersembunyi di situ. Ketika Raja Saul balik dari peperangan melawan orang Filistin, dia mendengar bahawa Daud berada di padang gurun dekat En-Gedi. Raja Saul memilih tiga ribu orang askar yang terbaik daripada seluruh Israel, lalu berangkat mencari Daud dan anak buahnya di sebelah timur Bukit Batu Kambing Hutan. Raja Saul sampai di suatu tempat dekat beberapa buah kandang domba di tepi jalan. Raja Saul masuk ke dalam gua di situ untuk membuang air besar. Kebetulan sekali Daud dan anak buahnya sedang bersembunyi di gua itu juga, lebih ke dalam lagi. Anak buah Daud berkata kepadanya, “Inilah kesempatan tuan. Bukankah TUHAN sudah berfirman kepada tuan demikian, ‘Musuhmu akan Kuserahkan kepadamu, buatlah sesuka hatimu terhadap dia.’ ” Kemudian Daud menyelinap ke tempat Raja Saul dan dengan diam-diam memotong sedikit daripada tepi jubah Raja Saul. Tetapi setelah itu, Daud berasa bersalah kerana dia telah melakukan hal itu. Dia berkata kepada anak buahnya, “Semoga TUHAN mencegah aku daripada berbuat jahat terhadap rajaku yang telah dipilih TUHAN. Aku tidak boleh menyakiti raja sedikit pun kerana raja telah dipilih TUHAN.” Demikianlah Daud menenangkan anak buahnya, dan tidak mengizinkan mereka menyerang Raja Saul. Raja Saul bangkit dan meninggalkan gua itu, lalu meneruskan perjalanan. Tetapi Daud menyusul Raja Saul ke luar gua dan berseru di belakangnya, “Tuanku!” Raja Saul menoleh, dan Daud sujud dengan hormat seraya berkata, “Mengapa tuanku mendengarkan cakap orang yang mengatakan bahawa hamba hendak mencelakakan tuanku?