1 SAMUEL 18:1-16

1 SAMUEL 18:1-16 BM

Raja Saul dan Daud selesai bercakap-cakap. Selepas itu, putera Raja Saul yang bernama Yonatan sangat tertarik kepada Daud, dan mula mengasihinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Sejak hari itu, Raja Saul menyuruh Daud tinggal bersama-sama baginda, dan tidak membenarkan dia pulang ke rumah bapanya. Yonatan bersumpah untuk bersahabat dengan Daud selama-lamanya, kerana dia sangat mengasihi Daud. Yonatan menanggalkan jubah yang dipakainya lalu memberikannya kepada Daud. Dia juga memberikan pakaian perangnya, pedangnya, panahnya, dan tali pinggangnya kepada Daud. Daud berjaya dalam segala tugas yang diperintahkan oleh Raja Saul. Maka Raja Saul melantik dia menjadi pegawai tentera. Hal itu menyenangkan hati semua pegawai tentera dan anak buah Raja Saul. Apabila Daud kembali, setelah mengalahkan Goliat orang Filistin itu, dan para askar berbaris masuk ke dalam kota, kaum wanita keluar dari semua kota di Israel untuk menyambut Raja Saul. Mereka menyanyikan lagu-lagu gembira sambil menari-nari dengan memainkan tamburin dan kecapi. Sambil menari-nari para wanita menyanyi demikian, “Raja Saul membunuh beribu-ribu orang musuh, tetapi Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh.” Raja Saul tidak suka mendengar nyanyian itu, lalu baginda menjadi murka. Raja Saul bertitah, “Daud dianggap membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh, sedangkan beta hanya dianggap membunuh beribu-ribu orang musuh. Tidak lama lagi mereka akan menjadikan dia raja!” Sejak hari itu Raja Saul iri hati terhadap Daud. Keesokan harinya, Raja Saul berada di dalam rumah dan sedang memegang tombak. Tiba-tiba Raja Saul dirasuki roh jahat yang disuruh Allah, sehingga baginda mengamuk seperti orang gila. Pada masa itu Daud sedang bermain kecapi seperti biasa. “Aku tancapkan dia ke tembok itu,” fikir Raja Saul, lalu baginda melemparkan tombak ke arah Daud sampai dua kali, tetapi Daud berjaya mengelakkannya. Raja Saul takut akan Daud kerana TUHAN menyertai Daud, tetapi TUHAN sudah meninggalkan Raja Saul. Maka Raja Saul memindahkan Daud dari lingkungan istana dengan melantiknya menjadi ketua pasukan seribu orang askar. Daud memimpin pasukannya dalam pertempuran, dan dia berjaya melaksanakan segala tugasnya kerana TUHAN menyertai dia. Raja Saul memperhatikan kejayaan Daud, dan hal itu menjadikannya bertambah takut akan Daud. Tetapi semua penduduk Israel dan Yehuda mengasihi Daud, kerana dia seorang pemimpin yang banyak jasa.