1 SAMUEL 17:41-51

1 SAMUEL 17:41-51 BM

Kemudian Goliat mula berjalan ke arah Daud, didahului oleh pembawa perisainya. Dia terus mendekati Daud, tetapi ketika dia nampak Daud dan memperhatikannya, Goliat tertawa mengejek kerana Daud masih sangat muda dan kacak. Goliat berkata kepada Daud, “Untuk apakah tongkat itu? Adakah engkau fikir aku ini anjing?” Goliat mengutuk Daud demi dewanya. “Mari,” katanya lagi untuk mencabar Daud, “Aku akan memberikan tubuhmu kepada burung dan binatang supaya dimakan!” Daud berkata, “Engkau datang melawan aku dengan pedang, tombak, dan lembing. Tetapi aku datang melawan engkau demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah tentera Israel, yang engkau hina itu. Hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan mengalahkan engkau dan memenggal kepalamu. Aku akan memberikan tubuh tentera Filistin kepada burung dan binatang supaya dimakan. Dengan demikian seluruh dunia akan tahu bahawa kami, bangsa Israel mempunyai Allah. Semua orang di sini akan melihat bahawa TUHAN tidak memerlukan pedang ataupun tombak untuk menyelamatkan umat-Nya. Dia sentiasa menang dalam peperangan, dan Dia akan menyerahkan kamu semua ke dalam tangan kami.” Goliat mula maju mendekati Daud, lalu Daud berlari dengan cepat ke arah barisan orang Filistin untuk melawan dia. Daud memasukkan tangan ke dalam kantongnya, lalu mengambil sebiji batu dan mengumban batu itu dengan ali-ali ke arah Goliat. Batu itu kena pada dahi Goliat sehingga pecah tengkoraknya. Ketika itu juga Goliat rebah dengan mukanya ke tanah. Demikianlah tanpa pedang, Daud mengalahkan Goliat dan membunuhnya dengan ali-ali dan batu. Daud berlari kepada Goliat dan berdiri di sisi tubuhnya. Dia menghunus pedang Goliat dari sarung lalu memancung kepala Goliat; begitulah Daud membunuh Goliat. Apabila orang Filistin nampak bahawa pahlawan mereka sudah mati, mereka lari.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 1 SAMUEL 17:41-51