1 SAMUEL 17:1-19

1 SAMUEL 17:1-19 BM

Pada suatu masa orang Filistin mengerahkan tentera mereka untuk maju berperang, dan berkumpul di kota Sokho, di wilayah Yehuda. Mereka memasang perkhemahan di antara Sokho dan Azeka, dekat Efes-Damim. Raja Saul dan orang Israel berkumpul juga dan berkhemah di Lembah Ela; mereka bersiap-siap untuk menghadapi serangan orang Filistin. Orang Filistin berbaris di sebuah bukit, dan orang Israel berbaris di sebuah bukit yang lain, dan di antaranya ada lembah. Seorang lelaki yang bernama Goliat, dari kota Gat, keluar dari perkhemahan Filistin untuk mencabar orang Israel. Tinggi orang itu kira-kira tiga meter. Dia memakai baju gangsa seberat kira-kira 57 kilogram, dan topi gangsa. Kakinya dilindungi oleh penutup daripada gangsa dan di bahunya dia menyangkutkan sebatang lembing gangsa. Gagang tombaknya sebesar kayu pada alat tenun dan mata tombaknya seberat kira-kira tujuh kilogram. Seorang askar pembawa perisai berjalan di hadapannya. Goliat berdiri dan berteriak kepada orang Israel, “Apakah yang sedang kamu lakukan di situ? Hendak berperangkah kamu? Aku orang Filistin, hai hamba-hamba Raja Saul! Pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku. Jika dia menang dan membunuh aku, kami akan menjadi hamba kamu. Tetapi jika aku menang dan membunuh dia, kamu akan menjadi hamba kami. Sekarang juga, aku mencabar tentera Israel; pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku!” Apabila Raja Saul dan tenteranya mendengar cabaran itu, mereka cemas dan sangat ketakutan. Daud ialah anak Isai, orang Efrata dari Betlehem di Yehuda. Isai mempunyai lapan orang anak lelaki, dan pada masa pemerintahan Raja Saul, Isai sudah sangat tua. Ketiga-tiga orang anak lelaki Isai yang tertua sudah mengikut Raja Saul pergi berperang. Anak Isai yang sulung bernama Eliab, yang kedua Abinadab, dan yang ketiga Syama. Daud ialah anak bongsu Isai. Semasa ketiga-tiga abangnya tinggal bersama-sama Raja Saul, Daud sering meninggalkan Raja Saul, lalu pulang ke Betlehem untuk menggembalakan domba bapanya. Selama empat puluh hari, tiap-tiap pagi dan petang, Goliat menghampiri barisan tentera Israel dan mencabar mereka. Pada suatu hari Isai berkata kepada Daud, “Bawalah sepuluh kilogram biji-bijian yang dipanggang dan sepuluh buku roti, lalu hantarlah semuanya kepada abang-abangmu di perkhemahan tentera. Bawalah juga sepuluh buah keju bagi komandan pasukan. Tanyakanlah bagaimana keadaan abang-abangmu. Bawalah sesuatu untuk membuktikan bahawa engkau sudah berjumpa dengan mereka, dan mereka dalam keadaan selamat. Mereka berada di Lembah Ela bersama dengan Raja Saul dan semua orang Israel lain, yang sedang bertempur dengan orang Filistin.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 1 SAMUEL 17:1-19

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami