Pada suatu hari, Yonatan berkata kepada pemuda pembawa senjatanya, “Marilah kita pergi ke perkhemahan orang Filistin.” Tetapi Yonatan tidak memberitahu ayahandanya, Raja Saul. Pada masa itu Raja Saul berada di bawah pokok delima di Migron, tidak jauh dari Gibea; ada kira-kira enam ratus orang yang bersama dengan Raja Saul. (Imam yang membawa efod pada masa itu ialah Ahiya anak Ahitub, cucu Pinehas anak Eli; Eli ialah imam TUHAN di Silo. Ahitub ialah saudara Ikabod). Tidak ada orang di situ tahu bahawa Yonatan sudah pergi dari tempat itu.
Untuk pergi ke perkhemahan Filistin, Yonatan harus melalui genting gunung yang diapit oleh dua buah batu besar yang runcing, yang dinamakan Bozes dan Sene. Batu besar yang di sebelah utara menghadap ke arah Mikhmas, dan batu besar yang satu lagi, yang di sebelah selatan menghadap ke arah Geba.
Yonatan berkata kepada pemuda itu, “Marilah kita pergi ke perkhemahan orang Filistin yang tidak mengenal Allah. Mungkin TUHAN akan menolong kita, kerana Dia dapat memberikan kemenangan, baik dengan banyak orang mahupun dengan sedikit orang.”
Pemuda itu menjawab, “Apa saja yang hendak tuan lakukan, saya setuju.”
“Baiklah,” kata Yonatan. “Pada masa kita pergi ke seberang, kita akan memperlihatkan diri kepada orang Filistin. Jika mereka menyuruh kita berhenti dan menunggu mereka datang kepada kita, maka kita akan tetap tinggal di situ dan tidak usah pergi ke seberang. Tetapi jika mereka menyuruh kita pergi kepada mereka, kita akan ke sana, kerana itulah tandanya mereka diserahkan oleh TUHAN kepada kita.”
Oleh itu mereka membiarkan orang Filistin melihat mereka. Kemudian orang Filistin berkata, “Lihatlah! Ada orang Ibrani keluar dari lubang tempat mereka bersembunyi!” Kemudian mereka berseru kepada Yonatan dan hambanya, “Marilah ke sini! Ada yang hendak kami tunjukkan kepada kamu!”
Yonatan berkata kepada pemuda itu, “Ikutlah aku. TUHAN sudah menyerahkan mereka kepada Israel.” Dengan diikuti pemuda itu Yonatan merangkak ke atas genting itu sehingga melaluinya. Yonatan menyerang orang Filistin lalu mereka berjatuhan kerana dipukulnya, dan pemuda itu membunuh mereka. Dalam pertempuran yang pertama itu, Yonatan dan pemuda itu membunuh kira-kira dua puluh orang di kawasan seluas satu perempat hektar. Kejadian itu menggemparkan semua orang Filistin di kawasan luar bandar; pasukan perompak dan askar Filistin di perkhemahan gementar ketakutan; bahkan bumi pun bergegar, dan terjadilah keadaan kacau-bilau.
Sementara itu tentera Raja Saul yang berkawal di Gibea, di wilayah Benyamin nampak orang Filistin berlari dengan kebingungan. Oleh itu Raja Saul bertitah kepada tenteranya, “Hitunglah askar kita dan periksalah siapa yang tidak ada.” Apabila mereka berbuat demikian, mereka mendapati bahawa Yonatan dan pemuda pembawa senjatanya tidak ada di situ. Raja Saul bertitah kepada Imam Ahia, “Bawalah efod itu ke mari.” (Pada hari itu Imam Ahia membawa efod di hadapan orang Israel). Ketika Raja Saul masih bertitah kepada imam itu, keadaan di perkhemahan orang Filistin semakin gempar. Oleh itu Raja Saul bertitah kepadanya, “Kita tidak sempat lagi untuk minta petunjuk daripada TUHAN!” Kemudian Raja Saul dan tenteranya mara ke medan pertempuran. Di situ mereka nampak orang Filistin dalam keadaan kacau-bilau; mereka saling menyerang dan membunuh. Beberapa orang Ibrani yang tinggal di daerah orang Filistin dan yang sudah mengikut tentera mereka, bertukar haluan semula lalu bergabung dengan Raja Saul dan Yonatan. Orang Israel yang bersembunyi di perbukitan Efraim juga mendengar bahawa orang Filistin sudah lari, lalu mereka ikut bergabung dengan Raja Saul dan menyerang orang Filistin. Orang Israel bertempur sepanjang jalan sampai melintasi Bet-Awen. TUHAN menyelamatkan Israel pada hari itu.