1 RAJA-RAJA 22:8-28

1 RAJA-RAJA 22:8-28 BM

Raja Ahab menjawab, “Ada seorang lagi, Mikha anak Yimla. Tetapi beta membenci dia, kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang hal yang buruk.” Raja Yosafat menjawab, “Tuanku tidak seharusnya bertitah demikian.” Oleh itu Raja Ahab memanggil seorang pegawai istana dan menyuruh dia cepat-cepat menjemput Mikha. Kedua-dua orang raja itu, yang berpakaian kebesaran, bersemayam di atas takhta di tempat mengirik gandum, di luar pintu gerbang Samaria. Semua nabi sedang bernubuat di hadapan mereka berdua. Zedekia anak Kenaana, salah seorang nabi itu, membuat beberapa buah tanduk besi lalu berkata kepada Raja Ahab, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Dengan tanduk-tanduk besi ini engkau akan melawan orang Siria sehingga mereka kalah sama sekali.’ ” Semua nabi yang lain juga berkata demikian. Mereka berkata, “Majulah menyerang Ramot. Tuanku pasti menang. TUHAN akan memberi tuanku kemenangan.” Sementara itu, pegawai yang pergi menjemput Mikha berkata kepadanya, “Semua nabi yang lain telah bernubuat bahawa raja akan menang. Sebaiknya engkau pun bernubuat demikian.” Tetapi Mikha menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, saya berjanji bahawa saya hanya akan mengatakan apa yang difirmankan-Nya!” Apabila Mikha menghadap Raja Ahab, baginda bertanya kepadanya, “Mikha, bolehkah Raja Yosafat dan beta menyerang Ramot atau tidak?” “Seranglah!” jawab Mikha. “Tentu tuanku akan menang. TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku.” Tetapi Raja Ahab bertitah, “Jika engkau berkata-kata kepada beta atas nama TUHAN, katakanlah yang benar. Berapa kali harus beta peringatkan engkau tentang hal ini?” Mikha menjawab, “Hamba nampak tentera Israel tercerai-cerai di bukit-bukit seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala. TUHAN berfirman, ‘Semua orang ini tidak mempunyai pemimpin; biarlah mereka pulang dengan selamat.’ ” Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Beta telah memberitahu tuanku bahawa dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta! Dia selalu bernubuat tentang perkara yang buruk!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah firman TUHAN! Hamba nampak TUHAN bersemayam di takhta-Nya di syurga, dan semua malaikat-Nya berdiri di sekeliling-Nya. TUHAN bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Ahab supaya dia pergi ke Ramot lalu terbunuh di sana?’ Jawapan malaikat-malaikat itu berbeza-beza. Kemudian satu roh tampil dan menghadap TUHAN. Roh itu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Lalu TUHAN bertanya, ‘Bagaimana?’ Roh itu menjawab, ‘Aku akan menyebabkan semua nabi Ahab berdusta.’ TUHAN berfirman, ‘Pergilah perdayakan dia. Engkau akan berjaya.’ ” Mikha berkata lagi, “Inilah yang telah berlaku. TUHAN telah membuat nabi-nabi tuanku berdusta kepada tuanku. Tetapi TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka!” Nabi Zedekia menghampiri Mikha, menampar pipinya, lalu bertanya, “Sejak bilakah Roh TUHAN meninggalkan aku dan berfirman kepadamu?” Mikha menjawab, “Engkau akan mengetahui hal ini apabila engkau bersembunyi di salah sebuah bilik belakang.” Kemudian Raja Ahab bertitah kepada salah seorang pegawainya, “Tangkaplah Mikha dan bawalah dia kepada Amon, gabenor kota itu, dan kepada Putera Yoas. Suruh mereka memasukkan dia ke dalam penjara, dan memberi dia roti dan air sahaja sehingga beta kembali dengan selamat.” Mikha berkata, “Jika tuanku kembali dengan selamat, nyatalah bahawa TUHAN tidak berfirman melalui hamba!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah, hai semua orang, akan apa yang telah saya katakan ini.”