Elia menjawab, “Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, aku sentiasa mengabdi kepada-Mu dan kepada-Mu sahaja. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Engkau. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh semua nabi-Mu. Hanya aku seorang yang masih hidup, dan kini mereka hendak membunuh aku pula!” TUHAN berfirman kepadanya, “Kembalilah ke padang gurun dekat Damsyik. Masuklah ke kota dan lumurilah kepala Hazael dengan minyak sebagai tanda bahawa dia dipilih menjadi raja negeri Siria. Lakukanlah hal yang sama kepada Yehu anak Nimsi supaya dia menjadi raja Israel, dan juga kepada Elisa anak Safat dari Abel-Mehola supaya dia menjadi nabi menggantikan engkau. Sesiapa yang dapat melarikan diri daripada pedang Hazael akan dibunuh Yehu, dan sesiapa yang terlepas daripada pedang Yehu akan dibunuh Elisa. Namun Aku akan menyelamatkan tujuh ribu orang di Israel, iaitu mereka yang setia kepada-Ku dan belum pernah bersujud kepada Baal, ataupun menciumnya.” Apabila Elia meninggalkan tempat itu, dia bertemu dengan Elisa yang sedang membajak tanah. Ada sebelas pasang lembu di hadapan Elisa, dan Elisa sendiri membajak dengan pasangan lembu yang terbelakang, iaitu pasangan lembu yang kedua belas. Elia menanggalkan jubahnya dan menghamparkannya pada Elisa. Kemudian Elisa meninggalkan lembu-lembunya, mengejar Elia dan berkata, “Benarkanlah saya berjumpa dengan ibu bapa saya dahulu untuk minta diri, lalu saya akan mengikut tuan.” Elia menjawab, “Pulanglah, saya tidak melarang kamu!” Kemudian Elisa kembali untuk mengambil pasangan lembunya, dan menyembelihnya, lalu memasaknya. Dia menggunakan kayu bajak sebagai kayu api. Dia menghidangkan makanan itu kepada semua orang di situ dan mereka pun makan. Selepas itu Elisa mengikut Elia sebagai pembantunya.
Baca 1 RAJA-RAJA 19
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: 1 RAJA-RAJA 19:14-21
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video