1 RAJA-RAJA 17:7-16

1 RAJA-RAJA 17:7-16 BM

Tidak berapa lama kemudian, sungai kecil itu kering kerana tidak ada hujan. Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia, “Pergilah ke kota Sarfat dekat Sidon, dan tinggallah di sana. Aku sudah memerintah seorang balu yang tinggal di sana untuk memberikan makanan kepadamu.” Maka Elia pergi ke Sarfat. Apabila dia tiba di pintu gerbang kota itu, dia nampak seorang balu sedang mengumpulkan kayu api. Elia berkata kepadanya, “Tolong beri saya air minum.” Apabila balu itu hendak pergi untuk mengambil air, Elia berkata lagi, “Dan tolonglah beri saya roti juga.” Balu itu menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, Allah yang tuan sembah, saya bersumpah bahawa saya tidak mempunyai roti. Saya hanya mempunyai segenggam tepung gandum di dalam mangkuk dan sedikit minyak zaitun di dalam botol. Saya sedang mengumpulkan sedikit kayu api untuk dibawa pulang supaya saya dapat memasak bahan yang tinggal itu untuk saya dan anak saya. Itulah makanan kami yang terakhir; setelah itu kami akan menunggu maut sahaja.” Elia berkata kepadanya, “Jangan khuatir. Pergilah sediakan makananmu. Tetapi sebelum itu, mula-mula buatlah roti daripada tepung dan minyak itu dan hantarlah kepada saya. Kemudian buatlah roti untukmu dan anakmu, kerana demikianlah Firman TUHAN, Allah Israel, ‘Tepung di dalam mangkuk itu tidak akan habis dan minyak di dalam botol itu tidak akan berkurang sehingga tiba saatnya Aku, TUHAN, menurunkan hujan.’ ” Balu itu pergi dan melakukan apa yang disuruh oleh Elia. Mereka bertiga mempunyai cukup makanan berhari-hari lamanya. Tepung di dalam mangkuk itu tidak habis-habis, dan minyak di dalam botol itu tidak berkurang menurut firman TUHAN melalui Elia.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami