1 RAJA-RAJA 15
15
Raja Abiam, Raja Yehuda
(2 Taw 13.1—14.1)
1Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yerobeam di Israel, Abiam menjadi raja di Yehuda. 2Raja Abiam memerintah di Yerusalem selama tiga tahun. Bondanya ialah Maakha keturunan Abisalom. 3Seperti ayahandanya, Raja Abiam juga berdosa dan tidak taat kepada TUHAN, Allahnya. Baginda tidak seperti Raja Daud, moyangnya. 4 Tetapi demi Raja Daud, TUHAN, Allahnya mengurniakan Raja Abiam seorang putera untuk memerintah di Yerusalem selepas Raja Abiam, dan untuk mempertahan kota itu. 5 TUHAN berbuat demikian kerana Raja Daud menyenangkan hati-Nya. Raja Daud tidak pernah melawan perintah TUHAN, kecuali dalam hal Uria, orang Het itu. 6Selama hayat Raja Abiam, persengketaan yang telah bermula antara Raja Rehabeam dengan Raja Yerobeam masih berlangsung. 7Segala perbuatan Raja Abiam tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.
8Raja Abiam mangkat dan dimakamkan di Kota Daud. Asa, putera Raja Abiam, menggantikan baginda sebagai raja.
Raja Asa, Raja Yehuda
(2 Taw 15.16—16.6)
9Pada tahun kedua puluh pemerintahan Raja Yerobeam di Israel, Asa menjadi raja Yehuda, 10dan memerintah selama empat puluh satu tahun di Yerusalem. Neneknya ialah Maakha keturunan Abisalom. 11Raja Asa melakukan hal-hal yang diperkenankan TUHAN, seperti yang dilakukan oleh Raja Daud, nenek moyangnya. 12Semua pelacur lelaki dan perempuan yang bertugas di tempat-tempat penyembahan dewa dibuang negeri; baginda juga menyingkirkan semua berhala yang dibuat oleh raja-raja sebelum baginda. 13Raja Asa menyingkirkan nenek baginda, Maakha, daripada kedudukannya sebagai bonda ratu, kerana Maakha telah membuat sebuah patung lucah, Dewi Asyera, berhala yang melambangkan kesuburan. Raja Asa merobohkan berhala itu dan membakarnya di Lembah Kidron. 14Walaupun Raja Asa tidak memusnahkan semua tempat penyembahan berhala, namun baginda tetap setia kepada TUHAN seumur hidupnya. 15Baginda meletakkan semua benda yang telah ditahbiskan oleh ayahandanya bagi Allah di dalam Rumah TUHAN, demikian juga benda-benda emas dan perak yang telah ditahbiskannya sendiri.
16Raja Asa di Yehuda dan Raja Baesa di Israel sentiasa berperang selama pemerintahan mereka. 17Raja Baesa menyerang Yehuda lalu mula memperkuat kota Rama untuk menutup jalan keluar masuk Yehuda. 18Oleh itu Raja Asa mengambil semua perak dan emas yang masih ada di Rumah TUHAN dan di istana, lalu dengan perantaraan beberapa orang pegawainya, Raja Asa mengirim semuanya ke Damsyik, kepada Raja Benhadad di Siria. Raja Benhadad ialah anak Tabrimon dan cucu Hezion. Raja Asa mengirim semuanya dengan pesan ini, 19“Marilah kita mengikat persahabatan seperti yang dilakukan ayahanda kita dahulu. Emas dan perak ini hadiah untuk tuanku. Putuskanlah hubungan tuanku dengan Raja Baesa di Israel, supaya raja Israel itu terpaksa menarik kembali tenteranya dari wilayah beta.”
20Raja Benhadad bersetuju dengan cadangan Raja Asa, lalu mengirim para panglima dan tenteranya untuk menyerang kota-kota Israel. Mereka merebut Iyon, Dan, Abel-Bet-Maakha, Kinerot dekat Tasik Galilea, dan seluruh wilayah Naftali. 21Apabila Raja Baesa mendengar hal itu, baginda berhenti memperkuat Rama, lalu pergi ke Tirza.
22Kemudian Raja Asa bertitah kepada segenap penduduk Yehuda dan memerintahkan setiap rakyat, tanpa kecuali, supaya mengangkut batu dan balak yang digunakan oleh Raja Baesa untuk memperkuat kota Rama. Dengan bahan-bahan itu Raja Asa memperkuat kota Mizpa dan Geba, sebuah kota di wilayah Benyamin.
23Segala perbuatan Raja Asa, kepahlawanan baginda dan kota-kota yang diperkuat oleh baginda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Tetapi pada masa tuanya, kaki baginda kena penyakit parah. 24Raja Asa mangkat lalu dimakamkan di makam diraja di Kota Daud. Kemudian Yosafat, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.
Raja Nadab, Raja Israel
25Pada tahun kedua pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Nadab putera Raja Yerobeam menjadi raja Israel. Raja Nadab memerintah Israel selama dua tahun. 26Seperti ayahandanya dahulu, Raja Nadab juga berdosa terhadap TUHAN, dan menyebabkan Israel berdosa.
27Baesa anak Ahia daripada suku Isakhar berkomplot untuk menentang Raja Nadab, lalu membunuh baginda. Pada masa itu, Raja Nadab dan tenteranya sedang mengepung kota Gibeton di negeri orang Filistin. 28Peristiwa ini berlaku pada tahun ketiga pemerintahan Raja Asa di Yehuda. Maka Baesa menggantikan Raja Nadab sebagai raja Israel. 29 Sebaik sahaja Baesa menjadi raja, Baesa mula membunuh semua anggota keluarga Raja Yerobeam. Sebagaimana yang difirmankan TUHAN melalui hamba-Nya, Nabi Ahia dari Silo, semua anggota keluarga Raja Yerobeam dibunuh; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup. 30Hal itu berlaku kerana Raja Yerobeam membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel; Raja Yerobeam telah berdosa, dan baginda juga menyebabkan umat Israel berdosa.
31Segala perbuatan Raja Nadab tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. 32Raja Asa di Yehuda dan Raja Baesa di Israel sentiasa berperang selama pemerintahan mereka.
Raja Baesa, Raja Israel
33Pada tahun ketiga pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Raja Baesa anak Ahia menjadi raja seluruh Israel. Raja Baesa memerintah di Tirza selama dua puluh empat tahun. 34Seperti Raja Yerobeam dahulu, Raja Baesa juga berdosa terhadap TUHAN, dan menyebabkan umat Israel berdosa.
Terpilih Sekarang Ini:
1 RAJA-RAJA 15: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.