1 RAJA-RAJA 1:32-48

1 RAJA-RAJA 1:32-48 BM

Kemudian Raja Daud memanggil Zadok, Natan, dan Benaya. Apabila mereka menghadap, Raja Daud bertitah kepada mereka, “Bawalah Salomo, putera beta, ke mata air di Gihon. Biarlah dia menunggangi baghal beta dan bawalah bersama-sama kamu para pegawai istana. Di sana hendaklah Zadok dan Natan melantik Salomo menjadi raja Israel. Selepas itu tiuplah trompet dan bersoraklah, ‘Daulat Tuanku Raja Salomo!’ Iringilah dia kembali ke sini supaya dia menduduki takhta beta. Dia akan menggantikan beta sebagai raja kerana dialah yang telah beta pilih untuk menjadi penguasa di Israel dan Yehuda.” “Baik, tuanku,” jawab Benaya. “Semoga perkara ini disahkan TUHAN, Allah tuanku. Sebagaimana TUHAN telah menyertai tuanku, semoga Dia juga menyertai Salomo dan menjadikan kerajaannya lebih makmur daripada kerajaan tuanku.” Kemudian Zadok, Natan, Benaya dan pengawal peribadi raja mempersilakan Salomo naik ke atas baghal Raja Daud, lalu mengiringinya ke mata air di Gihon. Zadok mengambil bekas minyak zaitun yang dibawanya dari Khemah TUHAN, lalu melumuri Salomo dengan minyak itu untuk melantik dia. Mereka meniup trompet lalu semua orang bersorak, “Daulat Tuanku Raja Salomo!” Selepas itu mereka mengiringi Raja Salomo balik ke istana sambil bersorak-sorak dan meniupkan seruling. Suara mereka begitu kuat sehingga bumi seakan-akan terbelah kerana keriuhan itu. Adonia dan para jemputannya baru selesai berpesta ketika mereka mendengar keriuhan itu. Apabila Yoab mendengar bunyi trompet, dia bertanya, “Apakah yang menyebabkan keriuhan di dalam kota itu?” Sedang dia berkata-kata, Yonatan anak Imam Abyatar tiba. Adonia berkata kepadanya, “Kamu orang baik, tentu kamu membawa berita baik. Silalah masuk.” “Saya tidak membawa berita baik,” jawab Yonatan. “Tuanku Raja Daud telah melantik Salomo menjadi raja. Baginda menyuruh Zadok, Natan, Benaya, dan pengawal peribadi raja untuk mengiringi Salomo. Mereka telah menaikkan Salomo ke atas baghal raja. Zadok dan Natan melantik Salomo menjadi raja dengan melumuri kepalanya dengan minyak, di mata air Gihon. Selepas itu mereka masuk ke dalam kota sambil bersorak-sorak. Itulah keriuhan yang kamu dengar tadi. Sekarang Salomo yang menjadi raja. Lagi pun para pegawai istana masuk menghadap Raja Daud untuk mengucapkan tahniah kepada baginda. Mereka berkata, ‘Semoga Allah tuanku menjadikan Raja Salomo lebih termasyhur daripada tuanku, dan semoga kerajaan baginda lebih makmur daripada kerajaan tuanku.’ Kemudian Raja Daud bersujud di tempat tidurnya untuk menyembah TUHAN, sambil berdoa, ‘Terpujilah Engkau, ya TUHAN, Allah Israel. Pada hari ini Engkau telah melantik salah seorang keturunanku menjadi raja untuk menggantikan aku. Engkau telah membenarkan aku menyaksikannya!’ ”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami