1 KORINTUS 9:19-27

1 KORINTUS 9:19-27 BM

Aku orang bebas dan aku bukan hamba sesiapa pun. Tetapi aku menjadikan diriku hamba kepada semua orang, supaya aku dapat memimpin banyak orang menjadi pengikut Kristus. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang Yahudi, aku berlaku seperti orang Yahudi supaya dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang yang mentaati Taurat Musa, aku berlaku seperti orang yang terikat kepada Taurat, walaupun sebenarnya aku tidak terikat kepada Taurat. Aku melakukannya supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi, aku berlaku seperti orang bukan Yahudi, yang tidak terikat kepada Taurat orang Yahudi. Aku melakukannya supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Tetapi hal ini tidak bererti bahawa aku tidak taat kepada hukum Allah; sebenarnya aku dikuasai oleh hukum Kristus. Di kalangan orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka, aku pun berlaku seperti mereka, supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Oleh itu aku menyesuaikan diri dengan keadaan semua orang, supaya dengan segala cara aku dapat menyelamatkan beberapa orang daripada mereka. Semua itu aku lakukan untuk Berita Baik, supaya aku dapat menerima berkatnya juga. Kamu tentu tahu bahawa dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian dalam perlumbaan, tetapi hanya seorang yang menerima hadiah. Oleh itu larilah sedemikian rupa sehingga kamu mendapat hadiah itu. Setiap ahli sukan yang sedang menjalani latihan harus mematuhi disiplin yang ketat. Dia melakukannya kerana dia ingin mendapat hadiah kejuaraan, walaupun hadiah itu akan rosak. Kita pun seperti ahli sukan yang mematuhi disiplin yang ketat supaya mendapat hadiah kejuaraan yang tidak akan rosak. Itulah sebabnya aku lari terus ke garis penamat. Seperti petinju, aku tidak mahu mensia-siakan tumbukanku. Aku melatih diri dengan giat supaya aku dapat menguasai diri. Aku berbuat demikian, supaya aku tidak ditolak, setelah aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang lain.