1 KORINTUS 7:28-35

1 KORINTUS 7:28-35 BM

Tetapi jika kamu berkahwin, kamu tidak berdosa. Begitu juga jika seorang gadis berkahwin, dia tidak berdosa. Tetapi orang yang berkahwin menghadapi banyak kesusahan, dan aku ingin kamu terhindar daripada kesusahan itu. Saudara-saudaraku, maksudku begini: Kita tidak mempunyai banyak masa. Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri hendaklah hidup seolah-olah dia tidak beristeri; orang yang menangis hendaklah hidup seolah-olah tidak berdukacita; orang yang tertawa hendaklah hidup seolah-olah tidak gembira; orang yang membeli barang hendaklah bersikap seolah-olah tidak memiliki barang yang dibeli; orang yang berurusan dengan hal-hal dunia, hendaklah hidup seolah-olah tidak sibuk dengan hal-hal itu. Kamu harus berbuat demikian kerana dunia dalam keadaan yang sekarang, akan segera lenyap. Aku mahu kamu bebas daripada kekhuatiran. Seorang yang tidak beristeri akan menumpukan perhatian kepada hal-hal Tuhan, kerana dia ingin menyenangkan hati Tuhan. Tetapi seorang yang beristeri menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia ini, kerana dia ingin menyenangkan hati isterinya. Akibatnya, hatinya berbelah bagi. Seorang wanita yang tidak bersuami, atau seorang gadis yang tidak berkahwin menumpukan perhatian kepada hal-hal Tuhan, kerana dia ingin mengabdikan seluruh jiwa raga kepada Tuhan. Tetapi seorang wanita yang sudah bersuami menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia ini, kerana dia ingin menyenangkan hati suaminya. Aku memberikan nasihat demikian kerana aku ingin menolong kamu. Aku tidak mahu mengadakan larangan ini itu bagi kamu. Sebaliknya aku ingin kamu melakukan apa yang benar dan patut, serta mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuh hati.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 1 KORINTUS 7:28-35