1 KORINTUS 2:1-8

1 KORINTUS 2:1-8 BM

Saudara-saudaraku! Semasa aku datang kepada kamu untuk memberitakan rancangan Allah yang belum diketahui oleh dunia, aku tidak menggunakan kebijaksanaan dunia ini ataupun kata-kata yang susah difahami. Aku berbuat demikian kerana ketika aku bersama-sama kamu, aku mengambil keputusan untuk memberitakan Yesus Kristus sahaja, terutama kematian-Nya pada kayu salib. Oleh itu, ketika aku datang kepada kamu, aku lemah dan gementar kerana ketakutan. Aku tidak mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik itu dengan kata-kata menurut kebijaksanaan manusia. Tetapi aku menyampaikannya dengan cara yang membuktikan bahawa Roh Allah berkuasa. Oleh itu, kepercayaan kamu kepada Kristus tidak berdasarkan kebijaksanaan manusia, tetapi berdasarkan kuasa Allah. Walaupun demikian, aku juga berkata-kata tentang kebijaksanaan kepada mereka yang mempunyai kehidupan rohani yang matang. Tetapi kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia ini, ataupun kebijaksanaan roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini. Kekuasaan roh-roh itu akan lenyap. Kebijaksanaan yang aku sampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah. Kebijaksanaan itu tidak diketahui oleh umat manusia, tetapi Allah sudah menyediakannya untuk kebahagiaan kita, sebelum Dia menjadikan dunia ini. Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini tidak mengetahui kebijaksanaan itu. Seandainya roh-roh itu mengetahuinya, tentu roh-roh itu tidak akan menyalibkan Tuhan yang mulia.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 1 KORINTUS 2:1-8