Kami mengisytiharkan bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Mengapa beberapa orang di kalangan kamu berkata bahawa orang mati tidak akan dibangkitkan? Jika orang mati tidak dibangkitkan, hal itu bererti Kristus pun tidak dibangkitkan. Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka. Hal itu juga bererti kami berdusta tentang Allah, kerana kami berkata bahawa Allah sudah membangkitkan Kristus daripada kematian. Jika memang benar orang mati tidak dibangkitkan, maka Allah tidak membangkitkan Kristus daripada kematian. Jika orang mati tidak dibangkitkan, maka Kristus pun tidak dibangkitkan. Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka kepercayaan kamu itu khayalan belaka dan kamu masih dikuasai dosa. Hal itu juga bererti orang yang percaya kepada Kristus dan yang sudah mati, semuanya tidak mempunyai harapan. Jika harapan kita kepada Kristus terbatas kepada hidup kita di dunia ini sahaja, maka kitalah yang paling malang antara semua orang di dunia ini!
Tetapi sebenarnya Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Itulah jaminan bahawa mereka yang sudah mati akan dibangkitkan juga. Hal itu demikian kerana sebagaimana kematian datang ke dunia melalui satu orang, begitu juga kebangkitan daripada kematian diberikan melalui satu orang. Sebagaimana semua orang mati kerana tergolong satu dengan Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan semula kerana tergolong satu dengan Kristus. Masing-masing akan dihidupkan semula menurut gilirannya: mula-mula Kristus; kemudian mereka yang menjadi milik-Nya akan dihidupkan semula ketika Kristus datang lagi. Kemudian tibalah akhir zaman. Pada waktu itu Kristus akan menaklukkan semua pemerintah, penguasa dan pemimpin, lalu Kristus akan menyerahkan kekuasaan-Nya sebagai raja kepada Allah, Bapa kita. Kristus harus terus memerintah sehingga Allah menaklukkan semua musuh Kristus di bawah kekuasaan Kristus. Musuh yang terakhir yang akan ditaklukkan ialah kematian. Di dalam Alkitab tertulis, “Allah sudah menaklukkan segala sesuatu di bawah kekuasaan-Nya.” Jelaslah bahawa kata “segala sesuatu” itu tidak termasuk Allah sendiri, yang menaklukkan segala sesuatu di bawah kekuasaan Kristus. Tetapi setelah segala sesuatu ditaklukkan di bawah pemerintahan Kristus, maka Dia sendiri sebagai Anak Allah akan meletakkan diri-Nya di bawah kekuasaan Allah, yang menyerahkan segala-galanya kepada-Nya. Demikianlah pada akhirnya Allah sendiri akan memerintah semuanya.
Bagaimana halnya dengan mereka yang dibaptis untuk orang mati? Apakah yang diharapkan oleh mereka? Jika memang benar orang mati tidak akan dihidupkan semula, mengapa mereka mahu dibaptis untuk orang mati? Jika tidak ada kebangkitan daripada kematian, mengapa kami mahu menghadapi bahaya setiap saat? Saudara-saudaraku, setiap hari aku menghadapi maut! Aku berkata demikian kerana aku bangga akan kamu, dan kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Tuhan kita. Dari segi kemanusiaan, apa gunanya berjuang seolah-olah melawan binatang buas di kota Efesus ini? Jika memang orang mati tidak dihidupkan semula, maka lebih baik kita hidup seperti pepatah ini, “Marilah kita makan minum dan bersuka-suka, kerana esok kita akan mati.”
Janganlah kamu tertipu! “Persahabatan yang buruk merosakkan akhlak baik.” Hendaklah kamu insaf dan jangan berdosa lagi. Kamu seharusnya malu, kerana beberapa orang antara kamu masih belum mengenal Allah.