1 TAWARIKH 29:1-9

1 TAWARIKH 29:1-9 BM

Raja Daud bertitah kepada semua orang yang berkumpul di situ, “Putera beta, Salomo telah dipilih khas oleh Allah. Tetapi dia masih muda dan tidak berpengalaman, sedangkan pekerjaan ini sangat besar. Lagipun yang akan dibina bukan istana untuk manusia, melainkan rumah untuk TUHAN Allah. Bahan-bahan untuk rumah itu dan perabotnya telah beta sediakan dengan segenap kemampuan beta. Beta telah menyediakan emas, perak, gangsa, besi, kayu, batu-batu berharga dan batu-batu permata, batu-batu beraneka warna untuk hiasan, dan batu marmar yang banyak sekali. Selain itu, beta juga telah menyerahkan perak dan emas daripada harta milik beta sendiri kerana cinta beta kepada rumah Allah beta. Beta memberikan lebih 100 tan emas yang terbaik dan hampir 240 tan perak tulen, untuk melapisi dinding Rumah TUHAN, dan untuk benda-benda yang harus dibuat oleh para tukang. Oleh itu, sekarang siapakah lagi mahu memberikan persembahan kepada TUHAN dengan senang hati?” Kemudian para ketua puak, ketua suku, panglima, dan pengurus harta milik raja menyatakan keinginan mereka untuk memberikan sumbangan. Mereka memberikan yang berikut bagi pembinaan Rumah TUHAN: lebih 170 tan emas, lebih 340 tan perak, hampir 620 tan gangsa, dan lebih 3,400 tan besi. Orang yang mempunyai batu permata, menyerahkannya kepada Yehiel untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan Rumah TUHAN. (Yehiel seorang Lewi daripada puak Gerson.) Rakyat memberikan sumbangan kepada TUHAN dengan ikhlas dan rela hati. Mereka bersukacita kerana banyak pemberian telah disumbangkan dan Raja Daud pun sangat bersukacita.