Seperti pokok epal di antara pepohon hutan,
demikianlah kekasihku di antara teruna.
Aku gembira duduk di bawah naungannya,
dan kepada mulutku, buahnya terasa manis.
Dibawanya aku ke rumah perjamuan,
dengan cogan cintanya di atasku.
Kuatkanlah aku dengan kuih kismis,
segarkanlah aku dengan buah epal,
kerana asyik asmara melanda aku!
Tangan kirinya di bawah kepalaku,
dan tangan kanannya memeluk aku.
Dengan sungguh-sungguh aku minta kepadamu, wahai para puteri Yerusalem,
demi kijang-kijang dan rusa-rusa betina di padang,
jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta
sebelum dikehendakinya.
Suara kekasihku!
Lihat, datanglah dia
melompat melepasi gunung-gunung,
melonjak melangkau bukit-bukit.
Kekasihku seumpama kijang atau rusa jantan muda.
Lihat, dia berdiri di balik dinding kita,
mengamat-amati melalui jendela,
mengintip-intip melalui tingkap kekisi.
Bertuturlah kekasihku dan berkata kepadaku,
“Bangunlah, oh sayangku,
Juitaku, marilah!
Lihatlah, musim dingin sudah berlalu,
hujan sudah teduh dan telah pergi.
Bunga-bunga menampakkan diri di bumi,
masa berdendang telah tiba,
kedengaran kini kicauan burung tekukur di bumi kita.
Pokok ara mulai berputik,
dan semerbaklah bau pokok anggur yang berbunga.
Bangunlah, marilah, sayangku,
jelitawanku, marilah!
Wahai merpatiku di celah-celah bukit batu,
di persembunyian pada terjal-terjal gunung,
biarlah aku tatap parasmu,
biarlah aku dengar suaramu,
kerana merdu suaramu
dan elok parasmu.
Tangkaplah untuk kami segala rubah itu,
rubah yang kecil-kecil,
yang merosakkan kebun-kebun anggur,
ketika kebun-kebun anggur kami sedang berbunga.”