Rut 4:9-17

Rut 4:9-17 AVB

Kepada para tua-tua serta semua orang yang ada di situ, Boas berkata, “Pada hari ini, kamulah saksi, bahawa aku telah membeli daripada tangan Naomi segala milik Elimelekh dan segala milik Kilyon dan Mahlon. Seterusnya Rut, perempuan bani Moab iaitu isteri Mahlon, aku jadikan isteriku untuk menaikkan nama si mati atas harta pusakanya agar namanya tidak tersingkir daripada saudara-maranya dan daripada tempat tumpah darahnya; dan pada hari ini kamulah saksi bagi hal ini.” Lalu semua yang hadir di pintu gerbang, dan para tua-tua pun berkata, “Sesungguhnya, kamilah saksi hal ini. Semoga TUHAN menjadikan perempuan yang akan masuk ke rumahmu itu sama seperti Rahel dan Lea, yang kedua-duanya membina keturunan kaum Israel. Semoga kamu makmur di Efrata dan biarlah masyhur namamu di Betlehem. Semoga keturunanmu yang TUHAN anugerahi kamu daripada perempuan muda ini kelak seperti keturunan Peres yang dilahirkan oleh Tamar bagi Yehuda!” Lalu Boas memperisteri Rut dan perempuan itu didampinginya. Atas kurnia TUHAN, Rut pun hamil dan seterusnya melahirkan seorang putera. Lantas kalangan kaum wanita pun berkata kepada Naomi, “Terpujilah TUHAN, yang tidak membiarkan kamu tanpa seorang penebus. Termasyhurlah kiranya nama anak ini di Israel. Semoga dia jugalah yang menjadi penyeri yang menyegarkan jiwamu dan memelihara kamu pada hari tuamu kerana menantumu yang mengasihimu dan yang lebih berharga bagimu daripada tujuh orang anak lelaki, telah melahirkannya.” Naomi pun mengambil serta meriba bayi itu lalu menjadi pengasuhnya. Para jiran wanita menamakan bayi itu sambil berkata, “Kepada Naomi, seorang putera telah dilahirkan.” Lalu mereka menamakan bayi itu Obed. Dan Obed ialah bapa Isai, iaitu bapa Daud.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Rut 4:9-17