Roma 9:1-18

Roma 9:1-18 AVB

Aku berkata benar dalam Kristus. Aku tidak berdusta, hati nuraniku mengesahkannya dalam Roh Kudus. Aku teramat sedih dan gundah dalam hatiku. Kerana aku rela terkutuk dan terpisah daripada Kristus untuk kepentingan saudara-saudara sebangsaku. Mereka itu orang Israel. Untuk mereka pengangkatan sebagai anak Allah; untuk mereka kemuliaan ilahi; perjanjian-perjanjian; penerimaan hukum, ibadat di Bait Suci, dan janji-janji. Mereka ialah keturunan nenek moyang yang termasyhur. Bahkan dari antara mereka jugalah Kristus lahir sebagai manusia. Dialah yang terutama dari segala sesuatu, Allah yang terpuji selama-lamanya. Amin. Ini tidaklah bererti Firman Allah telah gagal. Kerana bukan semua keturunan Israel itu diterima sebagai Israel. Juga bukan semua keturunan Abraham diterima sebagai anak-anak Abraham. Sebaliknya, “Melalui Ishak benih keturunanmu akan dipanggil.” Ini bererti, anak-anak Allah bukanlah keturunan tabii Abraham tetapi anak-anak janji Allah. Kerana demikianlah kata-kata janji itu: “Pada masa yang ditetapkan Aku akan kembali, dan Sarah akan mendapat seorang anak lelaki.” Bukan itu sahaja, malah kedua-dua anak lelaki Ribkah mempunyai bapa yang sama, iaitu Ishak, bapa kita. Namun demikian, sebelum anak kembar itu dilahirkan dan sempat berbuat baik atau jahat — untuk menegakkan kehendak Allah dalam pemilihan: bukan dengan kerja amal tetapi dengan Dia yang memanggil — Ribkah telah diberitahu: “Yang tua akan melayan yang muda.” Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: “Yakub Kukasihi, tetapi Esau Kubenci.” Jadi, apa yang akan kita katakan? Adakah Allah tidak adil? Sama sekali tidak! Kerana Dia telah berkata kepada Musa, “Aku akan mengasihani sesiapa yang Kukasihani. Dan Aku akan berbelas kasihan kepada sesiapa yang Kubelaskasihi.” Oleh itu, hal demikian bergantung bukan kepada keinginan atau usaha manusia tetapi kepada belas kasihan Allah. Kerana Kitab Suci berkata kepada Firaun: Aku telah mengangkatmu untuk tujuan ini, iaitu menunjukkan kekuasaan-Ku melaluimu dan supaya nama-Ku termasyhur di seluruh bumi. Dengan demikian Allah mengasihani sesiapa yang hendak dikasihani-Nya, dan mengeraskan hati sesiapa yang hendak dikeraskan-Nya hati.