Oleh yang demikian, kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Melalui-Nya kita telah mencapai dengan iman kasih kurnia yang meliputi kita sekarang. Dan kita bersukacita dengan harapan akan kemuliaan Allah. Bukan itu sahaja, tetapi kita juga bersukacita dengan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan membina ketabahan. Ketabahan membina budi pekerti; dan budi pekerti membina harapan. Dan harapan tidak mengecewakan kita, kerana Allah telah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus, yang telah dikurniakan-Nya kepada kita.
Lihatlah, tepat pada masanya, ketika kita masih tidak berdaya, Kristus telah mati untuk orang yang fasiq. Jarang sekali seseorang mahu mati untuk orang yang benar, meski untuk orang yang baik mungkin ada yang sanggup mati. Tetapi Allah telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita. Oleh sebab sekarang kita telah diperbenar dengan darah-Nya, lebih-lebih lagilah kita akan diselamatkan daripada kemurkaan Allah melalui-Nya. Kerana jika semasa kita seteru Allah, kita telah didamaikan dengan-Nya melalui kematian Anak-Nya, lebih-lebih lagilah, setelah didamaikan, kita akan diselamatkan melalui kehidupan-Nya! Bukan ini sahaja, tetapi kita juga bersukacita dalam Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus yang melalui-Nya kita telah menerima pendamaian.
Oleh itu, sebagaimana dosa memasuki dunia ini melalui seorang manusia, dan dengan demikian kematian menimpa semua manusia, kerana semuanya berdosa. Kerana sebelum hukum diberikan, dosa sudah ada di dunia. Tetapi dosa tidak diperhitungkan apabila hukum tidak ada. Namun demikian, kematian telah bertakhta dari zaman Adam hinggalah zaman Musa, dan merajai semua orang termasuklah yang tidak melakukan pelanggaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh Adam, yang merupakan gambaran Dia yang akan datang.
Tetapi pemberian tidaklah seperti pelanggaran. Kerana jika ramai manusia mati akibat pelanggaran seorang manusia, lebih-lebih lagilah kasih kurnia Allah dan pemberian melalui kasih kurnia seorang manusia, Yesus Kristus, melimpahi manusia yang banyak!