Roma 16:11-27

Roma 16:11-27 AVB

Salam kepada Herodion, saudara sebangsaku. Salam kepada Narkisus sekeluarga, yang hidup dalam Tuhan. Sampaikan salamku kepada Trifena dan Trifosa, yang telah berpenat lelah dalam Tuhan. Salam kepada Persis yang kukasihi, yang juga telah bertungkus-lumus dalam Tuhan. Salam kepada Rufus, hamba yang terpilih dalam Tuhan, dan kepada ibunya, yang telah menjadi ibu juga kepadaku. Salam kepada Asinkritus, Flegon, Hermes, Patrobas, Hermas dan saudara-saudara yang bersama mereka. Salam kepada Filologus dan Yulia, Nereus dan saudara perempuannya Olimpas, serta semua orang salih yang bersama mereka. Bersalam-salamanlah dengan ciuman suci. Jemaah-jemaah Kristus berkirim salam kepadamu. Saudara-saudaraku, aku meminta kepadamu, berwaspadalah terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan menyesatkan orang daripada ajaran yang telah kamu terima. Berpalinglah daripada mereka. Orang demikian bukanlah hamba Tuhan Kristus tetapi hamba kepada hawa nafsu mereka sendiri. Mereka memperdaya hati orang yang lurus dengan kata-kata yang manis. Semua orang telah mengetahui ketaatanmu. Oleh itu, aku bergembira tentangmu. Aku mahu kamu bijak dalam kebaikan serta bersih daripada kejahatan. Allah, sumber kesejahteraan, akan segera membuat Iblis hancur di bawah kakimu. Semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai kamu semua. Timotius, rakan seperjuanganku, berkirim salam kepadamu; begitu juga Lukius, Yason dan Sosipater, kawan-kawan sebangsaku. Aku, Tertius, yang menulis surat ini, juga berkirim salam kepadamu dalam Tuhan. Gayus, yang memberiku tempat menumpang serta semua jemaah yang berhimpun di rumahnya, berkirim salam kepadamu. Salam juga daripada Erastus, bendahara kota, dan Kuartus, saudara kita. Semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai kamu semua. Sekarang, kepada Dia yang berkuasa meneguhkan kamu menurut Injil yang kusampaikan dan perkhabaran tentang Yesus Kristus, menurut pernyataan rahsia yang tersembunyi sejak permulaan dunia tetapi kini telah dinyatakan, dan melalui nubuat-nubuat dalam Kitab Suci telah disampaikan kepada semua bangsa, menurut perintah Allah yang kekal, supaya mereka dibawa mentaati iman; kepada Allah sahaja, yang penuh bijaksana, segala kemuliaan melalui Yesus Kristus selama-lamanya. Amin.