Mazmur 86:1-17

Mazmur 86:1-17 AVB

Dekatkanlah telinga-Mu, ya TUHAN, dengarlah aku, kerana aku miskin dan sesak. Peliharakanlah nyawaku, kerana aku suci. Engkau Allahku; selamatkanlah hamba-Mu yang percaya kepada-Mu. Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku berseru kepada-Mu sepanjang hari. Gembirakanlah jiwa hamba-Mu, kerana kepada-Mu, ya Tuhan, kuangkatkan jiwaku. Kerana Engkau, ya Tuhan, baik dan sedia mengampuni, serta melimpahkan kasih kepada semua yang menyeru-Mu. Dengarlah, ya TUHAN, doaku; dan berilah perhatian kepada suara permohonanku. Dalam kesusahan aku akan berseru kepada-Mu, kerana Engkau akan menjawabku. Tiada tuhan seperti-Mu, ya Tuhan; dan tiada yang dapat melakukan apa yang Kaulakukan. Semua bangsa yang telah Kaujadikan akan datang menyembah-Mu, ya Tuhan; dan akan memuliakan nama-Mu. Kerana Engkau Maha Besar dan melakukan perkara yang menakjubkan; hanya Engkaulah Allah. Ajarlah aku jalan-Mu, ya TUHAN, aku akan melangkah dalam kebenaran-Mu; padukan hatiku, supaya takut akan nama-Mu. Aku akan memuji-Mu, ya Tuhan, Allahku, dengan sepenuh hatiku; dan aku akan memuliakan nama-Mu untuk selama-lamanya. Kerana sungguh melimpah kasih-Mu kepadaku; dan Engkau telah melepaskan jiwaku daripada kubur. Ya Allah, orang yang sombong telah bangkit menentangku; dan gerombolan orang zalim beramai-ramai hendak membunuhku — mereka tidak berpandu kepada-Mu. Tetapi Engkau, ya Tuhan, Allah yang penyayang dan pengasih, panjang sabar serta berlimpah kasih dan setia. Berpalinglah kepadaku, dan kasihanilah aku; berilah kekuatan-Mu kepada hamba-Mu dan selamatkanlah aku yang mengabdi kepada-Mu seperti ibuku dahulu. Tunjukkanlah aku tanda kebaikan, supaya orang yang membenciku melihatnya lalu berasa malu, kerana Engkau, ya TUHAN, telah menolongku dan melipurkan aku.