Mazmur 83:1-18

Mazmur 83:1-18 AVB

Janganlah senyap, ya Allah; janganlah Engkau membisu, dan janganlah berdiam diri, ya Allah. Kerana lihatlah, musuh-Mu berbuat huru-hara, dan mereka yang membenci-Mu telah mengangkat kepala. Mereka berunding mengatur tipu muslihat menentang umat-Mu; dan berpakat melawan orang yang Kaulindungi. Mereka telah berkata, “Marilah kita hapuskan mereka sebagai suatu bangsa, supaya nama Israel akan luput dari ingatan.” Mereka telah berpakat dan bersatu hati; mereka telah membentuk komplot menentang-Mu — orang Edom dan orang Ismael, Moab dan Hagri, Gebal, Amon dan Amalek, Filistea dan Tirus. Asyur pun telah menjadi sekutu mereka; mereka membantu keturunan bani Lut. Sela Perlakukanlah mereka seperti Kauperlakukan orang Midian, dan Sisera serta Yabin di Sungai Kison, yang binasa di En-Dor dan menjadi seperti sampah di atas bumi. Jadikanlah para pemimpin mereka seperti Oreb dan Zeeb, ya, dan raja-raja mereka seperti Zebah dan Salmuna, yang telah berkata, “Marilah kita ambil padang-padang berumput Allah sebagai milik kita.” Ya Allahku, jadikan mereka seperti debu berterbangan, seperti sekam ditiup angin. Seperti api membakar hutan dan membuat gunung-ganang menyala, burulah mereka dengan badai-Mu dan takutkan mereka dengan ribut-Mu. Malukanlah mereka supaya mereka mencari nama-Mu, ya TUHAN. Biarlah mereka keliru dan kecewa selama-lamanya; ya, biarkanlah mereka malu dan binasa. Supaya mereka tahu hanya Engkau, yang bernama TUHAN — Engkaulah Yang Maha Tinggi menguasai seluruh bumi.