Mazmur 66:1-20

Mazmur 66:1-20 AVB

Bersoraklah dengan girang kepada Allah, wahai seluruh bumi! Nyanyikan kebesaran nama-Nya; lafazkan puji-pujian untuk-Nya penuh kemuliaan! Katakan kepada Allah, “Alangkah menakjubkan segala perbuatan-Mu! Kekuasaan-Mu sungguh besar semua musuh-Mu akan tunduk kepada-Mu. Seluruh bumi akan menyembah-Mu; dan menyanyikan pujian kepada-Mu, mereka menyanyikan pujian kepada nama-Mu.” Sela Marilah melihat perbuatan Allah, Dia sungguh menakjubkan dalam perbuatan-Nya terhadap anak-anak manusia! Dia mengubah laut menjadi tanah kering, mereka menyeberangi berjalan kaki — di sana kami bersukacita kerana-Nya. Dia memerintah dengan kekuasaan-Nya untuk selama-lamanya, Dia mengawasi bangsa-bangsa; jangan ada pemberontak cuba melawan-Nya. Sela Pujilah Allah kami, hai semua umat-Nya, biar suara puji untuk-Nya didengar orang; Dia telah melindungi kami daripada kematian dan tidak membiarkan kami dikalahkan. Kerana Engkau, ya Allah, telah menguji kami; Engkau telah memurnikan kami seperti perak yang dimurnikan. Engkau membiarkan kami terjerumus ke dalam perangkap; Engkau membebani kami dengan derita. Engkau membiarkan orang memijak kepala kami; kami mengharungi api dan air, tetapi Engkau telah membawa kami keluar ke dalam limpahan rahmat dan pencapaian hasrat. Aku akan masuk ke rumah-Mu membawa korban bakaran, aku akan menunaikan segala janjiku kepada-Mu — yang telah kulafazkan ketika aku dalam kesusahan. Aku akan mempersembahkan kepada-Mu ternakan yang digemukkan sebagai korban bakaran bersama bauan harum daging domba jantan; aku akan mempersembahkan lembu jantan dan kambing. Sela Marilah dan dengarlah, wahai kamu yang takut akan Allah; aku akan mengisytiharkan apa yang telah dilakukan-Nya untukku. Aku berseru kepada-Nya dengan mulutku; dan dengan lidahku Dia disanjung. Kalaulah ada niat jahat dalam hatiku, Tuhan tidak akan mendengar rayuanku; tetapi sesungguhnya Allah telah mendengar suaraku dan telah mengabulkan doaku. Segala puji bagi Allah, yang tidak menolak doaku dan tidak menyingkirkan aku daripada kasih-Nya!