Mazmur 49:1-20

Mazmur 49:1-20 AVB

Dengarlah, wahai segala bangsa; pasang telingamu, wahai semua penghuni dunia, baik hina atau mulia, kaya atau miskin: Lidahku akan menuturkan kebijaksanaan; dan renungan hatiku akan memberi pengertian. Aku akan meneliti amsal; dan menerangkan ertinya sambil memetik kecapi: Mengapa aku harus takut dalam masa kesusahan, ketika kejahatan yang memburuku telah mengepungku — mereka yang bergantung kepada kekayaan dan berbangga akan harta yang banyak? Sesungguhnya, seorang pun daripada mereka tidak berdaya menebus saudaranya dengan membayar harga tebusannya kepada Allah — kerana harga tebusan jiwa mereka sungguh mahal, maka jiwa mereka akan musnah — mereka tidak dapat hidup selama-lamanya dan tidak dapat mengelakkan kubur. Setiap manusia melihat orang bijaksana meninggal dunia; begitu juga orang bodoh dan orang tolol lalu meninggalkan kekayaan mereka kepada orang lain. Dalam hati mereka menyangka rumah mereka akan kekal selama-lamanya, akan menjadi kediaman zuriat mereka turun-temurun, mereka menamakan tanah dengan nama mereka. Namun demikian manusia, meskipun terhormat, tidak akan kekal; sama seperti haiwan, dia akan mati. Inilah nasib orang yang bodoh, dan keturunan mereka yang menyokong kata-kata mereka. Sela Seperti domba mereka berbaring di kubur, maut akan membaham mereka. Orang yang tulus akan berkuasa atas mereka setelah pagi nanti; dan jasad mereka akan dimusnahkan di kubur, jauh dari tempat kediaman mereka. Kerana Allah yang akan menyelamatkanku dari kubur; Dia akan membawaku bersama-Nya. Sela Jangan runsing ketika melihat orang menjadi kaya-raya, dan keluarganya semakin dimuliakan; kerana apabila dia mati, tiada suatu pun dibawanya, kemuliaannya tidak turut masuk ke kubur. Walaupun dia berasa bahagia ketika hidup — kerana orang yang berjaya sentiasa dipuji — namun dia akan menyusul nenek moyangnya, dan tidak akan melihat cahaya selama-lamanya. Orang yang dimuliakan tetapi tidak mengerti samalah seperti haiwan yang mati.