Mazmur 35:1-14

Mazmur 35:1-14 AVB

Sokonglah perjuanganku, ya TUHAN, dengan orang yang memerangiku; lawanlah mereka yang melawanku. Gunakan perisai dan baju zirah-Mu; dan bangkitlah menolongku. Hunuslah lembing dan hentikan mereka daripada memburuku. Katakan kepada jiwaku, “Aku penyelamatanmu.” Malukan dan cemarkan nama orang yang hendak meragut nyawaku; dan mereka yang merancang untuk mencederakanku akan berundur dan kelam-kabut. Jadikan mereka seperti sekam ditiup angin, dan perintahkan malaikat TUHAN menghalau mereka; jadikan jalan yang ditempuh mereka gelap dan licin, dan perintahkan malaikat TUHAN memburu mereka. Kerana tanpa sebab mereka memasang jerat tersembunyi untukku dan tanpa sebab mereka gali lubang untuk meragut nyawaku, biar kebinasaan menimpa mereka dengan tiba-tiba — dan jerat yang disembunyikan mereka itu menjerat diri mereka sendiri, biar mereka terjerumus lalu binasa. Maka jiwaku akan bersukacita dengan pertolongan TUHAN, akan bergembira dengan penyelamatan-Nya. Semua tulangku akan berkata, “TUHAN, tiada siapa seperti-Mu, yang menyelamatkan orang daif daripada orang yang terlalu kuat bagi mereka, ya, menyelamatkan orang miskin dan sesak daripada orang yang merampas milik mereka.” Saksi-saksi yang berniat jahat menuduhku; menyoalku tentang perkara yang tidak kuketahui. Mereka membalas kebaikanku dengan kejahatan sehingga jiwaku berduka. Sedangkan ketika mereka sakit dahulu, aku telah berkabung; aku merendahkan diriku dengan berpuasa. Dan doaku sentiasa kembali ke hatiku. Aku mundar-mandir seolah-olah mereka sahabat atau saudaraku. Aku tunduk bersedih, bagaikan berkabung untuk ibu.