Mazmur 34:1-22

Mazmur 34:1-22 AVB

Aku akan memuji TUHAN setiap waktu; puji-pujian untuk-Nya akan sentiasa di bibirku. Jiwaku akan mengisytiharkan kebesaran TUHAN; rakyat yang menderita akan mendengar dan bersukacita. Pujilah kebesaran TUHAN bersamaku; marilah kita memuliakan nama-Nya bersama-sama. Aku telah berseru kepada TUHAN, dan Dia mendengar seruanku; lalu Dia menyelamatkanku daripada semua yang kutakuti. Orang yang dalam kesusahan bermohon kepada-Nya; maka wajah mereka berseri-seri dan tidak menanggung malu. Orang malang berseru merayu, dan TUHAN mendengar rayuannya; lalu menyelamatkannya daripada segala kesusahannya. Para malaikat TUHAN berjaga sekeliling orang yang takut kepada-Nya, dan menyelamatkan mereka. Rasakan dan lihatlah kebaikan TUHAN; diberkatilah orang yang berlindung kepada-Nya. Takutilah TUHAN, wahai umat-Nya yang salih, mereka yang takut kepada-Nya tidak kekurangan apa-apa. Anak-anak singa menjadi lemah dan lapar, tetapi mereka yang berpaling kepada TUHAN tidak akan kekurangan sesuatu yang baik. Marilah anak-anak, dengar kata-kataku; aku akan mengajarmu takut akan TUHAN. Siapa yang sayangkan hidup dan inginkan panjang umur, jagalah lidahmu daripada kejahatan dan bibirmu daripada kata-kata palsu. Tinggalkan kejahatan dan lakukan kebaikan; cari dan burulah kedamaian. Kerana mata TUHAN tertuju kepada orang yang benar dan telinga-Nya mendengar rayuan mereka; Tetapi wajah TUHAN menentang mereka yang berbuat jahat, sehingga ingatan tentang mereka luput dari bumi. Orang yang benar berseru merayu, dan TUHAN mendengar; lalu menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan mereka. TUHAN merapati orang yang patah hati dan menyelamatkan orang yang menyesal. Orang yang benar banyak ditimpa penderitaan, tetapi TUHAN menyelamatkannya daripada segala-galanya; TUHAN menjaga setiap tulangnya, satu pun tidak patah. Orang zalim akan dibunuh oleh kejahatan; dan mereka yang membenci orang benar akan dihukum. TUHAN menebus roh hamba-Nya; tiada seorang pun yang berlindung kepada-Nya akan dihukum.