Mazmur 119:89-112

Mazmur 119:89-112 AVB

Untuk selama-lamanya, ya TUHAN; firman-Mu bertapak di syurga. Kesetiaan-Mu kekal zaman-berzaman; Engkau mengasaskan bumi dan ia tetap ada. Segalanya berterusan hari ini menurut peraturan-Mu, kerana semuanya hamba-Mu. Kalaulah tidak kerana hukum-Mu bahagiaku, tentulah aku binasa menanggung penderitaan. Aku tidak akan melupakan ajaran-ajaran-Mu selama-lamanya, kerana dengannya Engkau telah memberiku hidup. Aku milik-Mu, selamatkanlah aku; kerana aku telah mencari ajaran-ajaran-Mu. Orang zalim menantiku untuk memusnahkanku, tetapi aku akan memikirkan peraturan-Mu. Aku telah melihat kemuncak segala kesempurnaan; tetapi perintah-Mu maha luas. Oh, betapa kucintai hukum-Mu! Aku merenungnya sepanjang hari. Engkau, melalui perintah-perintah-Mu, menjadikan aku lebih bijaksana daripada musuhku, kerana perintah-perintah-Mu sentiasa bersamaku. Aku mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua guruku, kerana peraturan-Mu menjadi renunganku. Aku mengerti lebih daripada penatuaku, kerana aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu. Aku telah mengawal kakiku daripada setiap jalan kejahatan supaya aku dapat mematuhi firman-Mu. Aku tidak menyimpang daripada hukum-hukum-Mu, kerana Engkau sendiri telah mengajarku. Betapa manisnya kata-kata-Mu bagiku, lebih manis daripada madu bagi lidahku! Melalui ajaran-ajaran-Mu aku mendapat pengertian; oleh itu, aku membenci setiap jalan yang palsu. Firman-Mu lampu bagi kakiku dan cahaya bagi jalanku. Aku telah bersumpah dan menegaskan, bahawa aku akan mematuhi hukum-hukum-Mu yang benar. Aku menanggung kesusahan yang amat berat; pulihkanlah aku, ya TUHAN, menurut firman-Mu. Aku berdoa, terimalah puji-pujianku yang kupersembahkan dengan sepenuh kerelaan, ya TUHAN, dan ajarlah aku hukum-hukum-Mu. Nyawaku sentiasa terancam, namun aku tidak melupakan hukum-Mu. Orang zalim telah memasang jerat untukku, namun aku tidak menyimpang daripada ajaran-ajaran-Mu. Peraturan-Mu telah kuambil sebagai warisan selama-lamanya; kerana ia menggembirakan hatiku. Aku telah mencenderungkan hatiku untuk menjalankan ketetapan-Mu selama-lamanya, hingga ke akhir.