Mazmur 119:65-96

Mazmur 119:65-96 AVB

Engkau telah memperlakukan hamba-Mu dengan baik, Ya TUHAN, menurut firman-Mu. Ajarlah aku pengetahuan dan pertimbangan yang baik, kerana aku percaya kepada perintah-perintah-Mu. Sebelum aku ditimpa kesusahan, aku menyeleweng, tetapi sekarang aku mematuhi firman-Mu. Engkau baik, dan berbuat baik; ajarlah aku ketetapan-Mu. Orang yang sombong telah berbuat dusta tentangku, tetapi aku akan mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan sepenuh hatiku. Hati mereka setebal lemak, tetapi aku bahagia dengan hukum-Mu. Kesusahan yang menimpaku baik bagiku kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu. Hukum yang Kaufirmankan lebih baik bagiku daripada ribuan keping wang emas dan perak. Tangan-Mu telah menciptaku dan membentukku; berilah aku pengertian supaya aku dapat mempelajari perintah-perintah-Mu. Mereka yang takut kepada-Mu akan bersukacita apabila melihatku, kerana aku telah menyandarkan harapan kepada firman-Mu. Aku tahu, ya TUHAN, bahawa hukum-hukum-Mu benar, dan kerana kesetiaan-Mu Engkau telah menimpakan kesusahan ke atasku. Aku berdoa, biarlah kasih setia-Mu melipurkan aku, menurut janji-Mu kepada hamba-Mu. Limpahkanlah belas kasih-Mu kepadaku supaya aku dapat hidup, kerana hukum-Mu bahagiaku. Biarlah orang yang sombong menanggung malu kerana mereka telah menzalimiku dengan fitnah; tetapi aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu. Biarlah mereka yang takut kepada-Mu berpaling kepadaku, mereka yang mengetahui peraturan-Mu. Biarlah hatiku tidak bercela terhadap ketetapan-Mu, supaya aku tidak menanggung malu. Jiwaku lesu merindui penyelamatan-Mu, tetapi kusandarkan harapan kepada firman-Mu. Mataku kabur mencari firman-Mu; dan aku berkata, “Bilakah Engkau akan melipurkan aku?” Kerana aku telah menjadi seperti kirbat yang diasapi, namun aku tidak melupakan ketetapan-Mu. Berapa lamakah hamba-Mu akan menunggu? Bilakah Engkau akan menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang yang sombong telah menggali lubang untukku, ini tidak menurut hukum-Mu. Semua perintah-Mu benar; mereka bersalah menganiaya aku; tolonglah aku. Mereka hampir menamatkan riwayatku di bumi ini, tetapi aku tidak meninggalkan ajaran-ajaran-Mu. Pulihkan aku dengan kasih sayang-Mu, supaya aku mematuhi peraturan yang Kaufirmankan. Untuk selama-lamanya, ya TUHAN; firman-Mu bertapak di syurga. Kesetiaan-Mu kekal zaman-berzaman; Engkau mengasaskan bumi dan ia tetap ada. Segalanya berterusan hari ini menurut peraturan-Mu, kerana semuanya hamba-Mu. Kalaulah tidak kerana hukum-Mu bahagiaku, tentulah aku binasa menanggung penderitaan. Aku tidak akan melupakan ajaran-ajaran-Mu selama-lamanya, kerana dengannya Engkau telah memberiku hidup. Aku milik-Mu, selamatkanlah aku; kerana aku telah mencari ajaran-ajaran-Mu. Orang zalim menantiku untuk memusnahkanku, tetapi aku akan memikirkan peraturan-Mu. Aku telah melihat kemuncak segala kesempurnaan; tetapi perintah-Mu maha luas.