Mazmur 119:41-88

Mazmur 119:41-88 AVB

Biarlah kasih setia-Mu juga datang kepadaku, ya TUHAN, penyelamatan-Mu menurut janji-Mu; dengan demikian aku akan mempunyai jawapan untuk orang yang mencelaku, kerana kusandarkan kepercayaan kepada firman-Mu. Janganlah singkirkan kata benar daripada mulutku, kerana aku berharap kepada hukum-Mu. Dengan demikian aku akan tetap mematuhi hukum-Mu, selama-lamanya. Dan aku akan melangkah dengan bebas, kerana aku mencari ajaran-ajaran-Mu. Aku akan berbicara tentang peraturan-Mu juga di hadapan raja-raja dan tidak akan malu, dan aku akan berbahagia dengan perintah-perintah-Mu yang kukasihi. Aku mengangkat tanganku kepada perintah-perintah-Mu yang dikasihi, dan aku akan merenung ketetapan-Mu. Ingatlah firman-Mu kepada hamba-Mu, dengannya Engkau telah memberiku harapan. Inilah yang melipurkan aku dalam kesakitanku: Firman-Mu memberiku hidup. Orang yang sombong mentertawakan aku, namun aku tidak berpaling daripada hukum-Mu. Aku ingat akan hukum-hukum-Mu dahulu, Ya TUHAN, dan aku melipurkan diriku. Kemarahan telah memenuhiku kerana orang zalim, yang meninggalkan hukum-Mu. Ketetapan-Mu telah menjadi nyanyianku dalam perjalanan ibadatku. Aku ingat akan nama-Mu pada waktu malam, Ya TUHAN, dan aku mematuhi hukum-Mu. Ini telah menjadi milikku: kerana aku telah mematuhi ajaran-ajaran-Mu. Engkaulah yang ada padaku, ya TUHAN; aku telah berjanji untuk mematuhi firman-Mu. Aku memohon keredaan-Mu dengan sepenuh hatiku; kasihanilah aku menurut firman-Mu. Aku memikirkan gerak-geriku lalu aku melangkah ke arah peraturan-Mu. Aku bertindak segera, aku tidak berlengah-lengah mematuhi perintah-perintah-Mu. Tali orang zalim telah mengikatku, tetapi aku tidak melupakan hukum-Mu. Pada tengah malam aku akan bangun untuk mengucap syukur kepada-Mu kerana hukum-hukum-Mu yang benar. Aku teman kepada semua yang takut kepada-Mu, dan mereka yang mematuhi ajaran-ajaran-Mu. Bumi ini, ya TUHAN, penuh dengan kasih-Mu; ajarlah aku ketetapan-Mu. Engkau telah memperlakukan hamba-Mu dengan baik, Ya TUHAN, menurut firman-Mu. Ajarlah aku pengetahuan dan pertimbangan yang baik, kerana aku percaya kepada perintah-perintah-Mu. Sebelum aku ditimpa kesusahan, aku menyeleweng, tetapi sekarang aku mematuhi firman-Mu. Engkau baik, dan berbuat baik; ajarlah aku ketetapan-Mu. Orang yang sombong telah berbuat dusta tentangku, tetapi aku akan mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan sepenuh hatiku. Hati mereka setebal lemak, tetapi aku bahagia dengan hukum-Mu. Kesusahan yang menimpaku baik bagiku kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu. Hukum yang Kaufirmankan lebih baik bagiku daripada ribuan keping wang emas dan perak. Tangan-Mu telah menciptaku dan membentukku; berilah aku pengertian supaya aku dapat mempelajari perintah-perintah-Mu. Mereka yang takut kepada-Mu akan bersukacita apabila melihatku, kerana aku telah menyandarkan harapan kepada firman-Mu. Aku tahu, ya TUHAN, bahawa hukum-hukum-Mu benar, dan kerana kesetiaan-Mu Engkau telah menimpakan kesusahan ke atasku. Aku berdoa, biarlah kasih setia-Mu melipurkan aku, menurut janji-Mu kepada hamba-Mu. Limpahkanlah belas kasih-Mu kepadaku supaya aku dapat hidup, kerana hukum-Mu bahagiaku. Biarlah orang yang sombong menanggung malu kerana mereka telah menzalimiku dengan fitnah; tetapi aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu. Biarlah mereka yang takut kepada-Mu berpaling kepadaku, mereka yang mengetahui peraturan-Mu. Biarlah hatiku tidak bercela terhadap ketetapan-Mu, supaya aku tidak menanggung malu. Jiwaku lesu merindui penyelamatan-Mu, tetapi kusandarkan harapan kepada firman-Mu. Mataku kabur mencari firman-Mu; dan aku berkata, “Bilakah Engkau akan melipurkan aku?” Kerana aku telah menjadi seperti kirbat yang diasapi, namun aku tidak melupakan ketetapan-Mu. Berapa lamakah hamba-Mu akan menunggu? Bilakah Engkau akan menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang yang sombong telah menggali lubang untukku, ini tidak menurut hukum-Mu. Semua perintah-Mu benar; mereka bersalah menganiaya aku; tolonglah aku. Mereka hampir menamatkan riwayatku di bumi ini, tetapi aku tidak meninggalkan ajaran-ajaran-Mu. Pulihkan aku dengan kasih sayang-Mu, supaya aku mematuhi peraturan yang Kaufirmankan.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Mazmur 119:41-88