Hai anak-anakku, dengarlah didikan seorang ayah
dan perhatikanlah, supaya engkau memperoleh pengertian.
Jangan abaikan peraturanku
kerana aku memberimu ajaran yang baik.
Ketika aku masih kanak-kanak dan tinggal bersama ayahku, masih kecil,
dan anak tunggal bagi ibuku,
ayahku mengajarku, katanya, “Pegang teguh kata-kataku dalam hatimu.
Patuhilah perintah-perintahku, maka engkau akan hidup.
Perolehlah hikmah! Perolehlah pengertian!
Jangan lupakan, dan jangan menyimpang daripada kata-kata mulutku.
Jangan abaikan hikmah, maka hikmah akan memelihara kamu;
kasihilah ia, maka ia akan menjaga kamu.
Hikmah adalah yang paling utama. Perolehlah hikmah
dan dengan segala pemerolehanmu itu, perolehlah pengertian.
Junjung tinggi hikmah, maka hikmah akan meninggikanmu.
Ia akan menjadikan kamu terhormat jika engkau mendakapnya.
Ia akan meliliti kepalamu dengan karangan bunga yang indah,
dan akan mengurniakan kepadamu mahkota kemuliaan.”
Hai anakku, dengarlah dan terimalah kata-kataku,
supaya banyak pula tahun hidupmu.
Aku telah menunjukkan kepadamu jalan hikmah,
dan aku telah membimbingmu di jalan-jalan yang lurus.
Apabila engkau berjalan, langkahmu tidak akan terhalang,
dan jika engkau berlari, engkau tidak akan tersandung.
Peganglah didikan, jangan lepaskan;
peliharalah ia, kerana ia hidupmu.
Jangan masuki lorong orang durjana,
dan jangan ikuti jalan orang yang jahat.
Jauhilah jalan itu, jangan lalui.
Menyimpanglah dari jalan itu, dan teruskanlah perjalananmu.
Kerana mereka itu tidak dapat tidur
selagi mereka belum melakukan kejahatan,
dan mereka tidak mungkin lena jika
belum membuat seseorang tersandung.
Mereka makan roti kedurjanaan
dan minum air anggur keganasan.
Sebaliknya jalan orang benar seperti cahaya fajar,
yang semakin benderang hingga puncak siang hari.
Jalan orang durjana pula seperti kegelapan yang pekat;
lantas mereka tidak tahu apa yang membuat mereka tersandung.
Hai anakku, perhatikanlah ucapanku,
arahkanlah telingamu kepada kata-kataku.
Jangan biarkan semua itu luput daripada pandanganmu,
simpanlah segalanya itu dalam hatimu.
Kerana sesiapa menemukannya memperoleh hidup
dan kesembuhan bagi seluruh tubuhnya.
Jagalah hatimu lebih daripada segalanya,
kerana dari situlah terpancar mata air kehidupan.
Buanglah penipuan daripada mulutmu,
dan jauhkanlah bibir mungkar daripadamu.
Hendaklah matamu memandang ke hadapan,
dan tatapanmu lurus ke arah di depanmu.
Ratakanlah jalan bagi kakimu,
pastikan segala jalanmu akan teguh.
Janganlah menyimpang ke kanan atau ke kiri;
jauhkanlah kakimu daripada kejahatan.