Pada hari pertama pada bulan ketujuh, Imam Ezra membawa Kitab Suci Taurat ke hadapan jemaah yang terdiri daripada para lelaki, perempuan, dan semua orang yang dapat mendengar serta mengerti. Dengan menghadap ke arah lapangan, di depan Pintu Gerbang Air, dibacanya kitab itu dari pagi sampai tengah hari di hadapan para lelaki, perempuan, dan semua orang yang dapat mendengar serta mengerti. Seluruh rakyat mendengar baik-baik pembacaan Kitab Suci Taurat itu.
Ezra, ahli Kitab Suci Taurat itu, berdiri di atas mimbar kayu yang khusus dibuat untuk acara itu. Di sisi sebelah kanannya berdiri Matica, Sema, Anaya, Uria, Hilkia, dan Maaseya, sedangkan di sebelah kirinya berdiri Pedaya, Misael, Malkia, Hasum, Hasbadana, Zakharia, dan Mesulam.
Ezra membuka kitab itu di hadapan mata seluruh rakyat, kerana dia berdiri lebih tinggi daripada semua orang. Apabila dia membuka kitab itu, seluruh rakyat bangkit berdiri. Kemudian Ezra memuji TUHAN, Allah Yang Maha Besar, dan seluruh rakyat menjawab, “Amin, amin!” sambil menadahkan tangan. Mereka pun menundukkan kepala dan sujud menyembah TUHAN.