Markus 15:21-41

Markus 15:21-41 AVB

Ketika itu seorang yang bernama Simon, orang Kirene, bapa kepada Aleksander dan Rufus sedang lalu di situ. Dia baru sahaja datang dari luar bandar. Kemudian mereka memaksanya mengangkat salib Yesus. Mereka membawa-Nya ke tempat yang dipanggil Golgota (bermaksud Tempat Tengkorak). Kemudian mereka memberi-Nya air anggur bercampur mir tetapi Dia enggan meminumnya. Setelah mereka menyalib-Nya, mereka membahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi. Mereka menyalib-Nya pada jam ketiga. Tuduhan terhadap-Nya tertulis di atas: Raja orang Yahudi. Mereka menyalib dua orang perompak bersama Yesus, seorang di kanan dan seorang di kiri-Nya. Dengan demikian terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci: “Dan Dia digolongkan dengan penjahat.” Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Yesus. Mereka berkata, “Kamu mahu memusnahkan Bait Suci dan membinanya semula dalam tiga hari! Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah diri-Mu!” Begitu jugalah ketua-ketua imam dan ahli Taurat turut memperolok-olokkan Yesus. Mereka berkata sesama sendiri, “Dia menyelamatkan orang, tetapi tidak dapat menyelamatkan diri-Nya sendiri! Kiranya Kristus ini, Raja Israel, turunlah dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepada-Nya!” Orang yang disalib bersama Yesus pun mencela-Nya. Pada jam keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan. Pada jam kesembilan, Yesus berseru dengan suara yang lantang, “Eloi, Eloi, lama sabakhtani?” Ertinya, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?” Beberapa orang di situ mendengar seruan itu dan berkata, “Dengarlah, Dia memanggil Elia.” Seorang daripada mereka berlari mengambil span lalu mencelupnya ke dalam air anggur masam. Kemudian dia mencucukkan span itu di hujung sebatang mensiang dan menawarkannya kepada Yesus untuk minum, sambil berkata, “Kita menunggu, kalau-kalau Elia datang menurunkan-Nya dari salib.” Yesus berseru dengan kuat lalu menghembuskan nafas terakhir. Sejurus kemudian, tirai di dalam Bait Suci terbelah dua, dari atas hingga ke bawah. Ketua tentera yang berdiri di hadapan salib itu melihat semua ini lalu berkata, “Benarlah Dia Anak Allah!” Beberapa orang wanita menyaksikan segala-galanya dari jauh. Antara mereka ialah Maria Magdalena, serta Maria ibu Yakobus Muda dan Yoses, serta Salome. Mereka wanita yang mengikut dan menolong Yesus ketika Dia di Galilea. Ada ramai juga wanita yang datang dengan Yesus ke Yerusalem.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Markus 15:21-41