Setelah itu, Yesus beredar dari situ lalu pergi ke daerah Yudea dan daerah di seberang Sungai Yordan. Ramai sekali orang yang datang kepada-Nya, dan seperti biasa, Dia pun mengajar mereka.
Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan menduga-Nya. Mereka bertanya, “Menurut hukum, bolehkah seseorang menceraikan isterinya?”
Dia menjawab, “Apa yang diperintahkan oleh Musa kepadamu?”
Mereka berkata, “Musa membenarkan seseorang lelaki menulis surat cerai dan menyuruh isterinya pergi.”
Yesus menjawab mereka, “Disebabkan hati kamu begitu tegar, Musa menuliskan peraturan itu. Tetapi sejak alam dicipta, Allah ‘telah menjadikan lelaki dan perempuan.’ ‘Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.’ Maka mereka bukan lagi dua tetapi satu. Apa yang telah disatukan oleh Allah, janganlah manusia pisahkan.”
Di dalam rumah, murid-murid-Nya bertanya lagi kepada-Nya tentang hal ini. Dia menjawab, “Sesiapa yang menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, berzina. Begitu juga, jika seseorang wanita menceraikan suaminya dan berkahwin dengan lelaki lain, dia berzina.”
Selepas itu, orang membawa kanak-kanak kecil kepada-Nya supaya Dia menyentuh mereka, tetapi murid-murid-Nya memarahi mereka. Tetapi apabila Yesus melihat hal itu, Dia sungguh tidak menyenanginya, lalu berkata, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku; jangan larang mereka, kerana orang yang seperti itulah yang empunya Kerajaan Allah. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang tidak menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, tidak akan masuk ke dalamnya.” Yesus mendukung dan mendakap kanak-kanak kecil itu, meletakkan tangan-Nya ke atas mereka, dan memberkati mereka.
Ketika Dia sedang melangkah ke jalan, seorang datang berlari-lari, berlutut kepada-Nya dan bertanya, “Wahai Guru yang baik, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?”
Yesus berkata kepadanya, “Mengapa kamu mengatakan Aku baik? Tiada siapa yang baik kecuali Allah. Engkau mengetahui perintah-perintah Allah: ‘Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan memberi kesaksian palsu, jangan mungkir, hormatilah ibu bapamu.’ ”
Orang itu menjawab, “Guru, semua ini telah kutaati dari usia muda lagi.”
Yesus memandangnya dengan penuh kasih lalu berkata, “Ada satu kekuranganmu. Pergilah, jual segala yang ada padamu dan sedekahkan kepada orang miskin, maka kamu akan mendapat harta di syurga. Sesudah itu datanglah dan ikut Aku.” Tetapi orang itu sedih mendengar kata-kata ini lalu pergi dengan dukacita, kerana dia mempunyai banyak harta.
Kemudian Yesus memandang sekeliling dan berkata kepada murid-murid-Nya, “Betapa susahnya bagi orang kaya memasuki kerajaan Allah!”
Para murid-Nya kehairanan mendengar kata-kata-Nya. Tetapi Yesus berkata lagi, “Anak-anak-Ku, betapa susahnya untuk memasuki kerajaan Allah! Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.”
Para murid-Nya berasa sungguh hairan, lalu berkata sama sendiri, “Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?”
Sambil memandang mereka Yesus menjawab, “Bagi manusia hal itu mustahil, tetapi tidak bagi Allah; tidak ada satu pun yang mustahil bagi Allah.”
Kemudian Petrus berkata kepada-Nya, “Kami telah meninggalkan segala-galanya untuk mengikut-Mu!”
Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, setiap orang yang telah meninggalkan rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu bapa, anak-anak, atau ladang untuk-Ku dan untuk Injil pasti akan menerima seratus kali ganda dalam dunia ini (rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu, anak-anak dan ladang, serta penganiayaan) dan pada kemudian hari, hidup kekal. Tetapi ramai orang yang terdahulu akan menjadi terakhir, dan yang terakhir akan menjadi yang terdahulu.”