Selepas hari Sabat, ketika fajar menyingsing pada hari pertama minggu itu, Maria Magdalena dan Maria yang seorang lagi pergi melihat makam Yesus. Tiba-tiba terjadi gempa bumi yang hebat, kerana seorang malaikat Tuhan turun dari syurga lalu menggulingkan batu yang menutup makam itu dan duduk di atasnya. Wajahnya laksana kilat dan pakaiannya seputih salji. Para pengawal menggeletar ketakutan apabila melihatnya, lalu menjadi seperti orang mati. Tetapi malaikat itu berkata kepada perempuan-perempuan itu, “Jangan takut, aku tahu kamu mencari Yesus yang telah disalib. Dia tidak ada di sini, kerana Dia telah bangkit semula, seperti yang dikatakan-Nya. Marilah lihat tempat Dia dibaringkan dahulu. Kemudian, segeralah pergi dan katakan kepada murid-murid-Nya bahawa Dia telah bangkit daripada kematian, dan Dia mendahului kamu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya. Lihatlah, aku telah memberitahumu.” Mereka pun keluar dari makam itu dengan takut dan amat gembira, lalu berlari untuk membawa berita itu kepada para murid Yesus. Dalam perjalanan, tiba-tiba Yesus menemui mereka sambil berkata, “Salam sejahtera!” Lalu mereka pun mendekati Yesus dan memegang kaki-Nya serta menyembah-Nya. Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Jangan takut. Pergilah dan suruh saudara-saudara-Ku ke Galilea. Di sana mereka akan melihat-Ku.”
Baca Matius 28
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Matius 28:1-10
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video