Matius 21:23-32

Matius 21:23-32 AVB

Apabila Yesus masuk ke Bait Suci, ketua imam dan tua-tua datang kepada-Nya ketika Dia sedang mengajar, “Dengan kuasa apakah Kamu melakukan perkara-perkara ini? Dan siapakah yang memberi-Mu kuasa itu?” Yesus menjawab, “Aku juga akan bertanya satu soalan. Jika kamu memberitahu-Ku, Aku akan menyatakan kepadamu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara itu: Baptisan Yohanes dari manakah asalnya? Daripada syurga atau daripada manusia?” Mereka pun berbincang sesama sendiri, “Kalau kita berkata, ‘Daripada syurga,’ Dia akan berkata, ‘Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?’ Tetapi kalau kita berkata, ‘Daripada manusia,’ takut orang ramai marah, kerana mereka menganggap Yohanes seorang nabi.” Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” Yesus berkata kepada mereka, “Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara ini.” “Tetapi bagaimana pandanganmu? Seorang ada dua orang anak lelaki. Dia mendapatkan yang sulung dan berkata, ‘Anakku, pergilah bekerja hari ini di ladang anggurku.’ Anak itu menjawab, ‘Aku tidak mahu,’ tetapi kemudian dia menyesal lalu pergi bekerja di ladang bapanya. Ayah itu pergi pula mendapatkan anaknya yang kedua dengan kata-kata yang sama. Anak itu menjawab, ‘Baiklah, aku pergi, ayah,’ tetapi dia tidak pergi. Antara dua itu, yang mana melakukan kehendak bapanya?” Mereka menjawab, “Yang sulung.” Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pemungut cukai dan pelacur akan memasuki kerajaan Allah terlebih dahulu daripadamu. Yohanes datang kepadamu untuk menunjukkan jalan yang benar tetapi kamu tidak percaya kepadanya; manakala pemungut cukai dan pelacur percaya kepadanya. Setelah melihat hal ini pun, kamu tetap tidak menyesal dan percaya kepadanya.”