Matius 18:15-35

Matius 18:15-35 AVB

“Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah mendapatkannya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan diam-diam, antara kamu berdua sahaja. Sekiranya dia mahu mendengar katamu, ertinya kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. Jika tidak, bawalah seorang dua bersamamu; kerana telah tersurat, ‘Setiap tuduhan harus disokong dengan kesaksian dua atau tiga orang saksi.’ Sekiranya dia enggan menerima nasihat mereka, maklumkan hal itu kepada jemaah. Jika nasihat jemaah pun tidak diterimanya, anggaplah dia seperti orang yang tidak mengenal Allah atau pemungut cukai.” “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang kamu ikat di dunia akan diikat di syurga, dan apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga. Ketahuilah juga, setiap kali dua orang daripadamu di dunia ini bersetuju untuk memohon sesuatu daripada-Ku, permohonan itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga; kerana apabila dua atau tiga orang berhimpun dalam nama-Ku, Aku ada di situ bersama mereka.” Petrus datang mendapatkan Yesus lalu bertanya, “Tuhan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah harus kuampuni dia? Sehingga tujuh kali?” Yesus menjawab, “Bukan tujuh kali. Tujuh puluh kali tujuh kali. Kerana kerajaan syurga seperti yang berikut: Seorang raja hendak menyelesaikan kira-kira dengan para hambanya. Salah seorang hambanya yang berhutang sebanyak sepuluh ribu talenta dibawa menghadapnya. Hamba itu tidak dapat menjelaskan hutangnya. Oleh itu, raja memerintahkan supaya hamba itu dijual bersama anak isteri dan harta bendanya untuk membayar hutang itu. Hamba itu menyembah dan merayu, ‘Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutang itu.’ Raja itu berasa kasihan kepadanya lalu menghapuskan segala hutangnya dan membebaskannya. Tetapi ketika hamba itu keluar, dia menemui seorang hamba lain yang berhutang seratus keping wang dinar kepadanya. Dia menangkap dan hendak mencekik rakannya itu sambil berkata, ‘Bayar semua hutangmu.’ Rakannya itu menyembah dan merayu, ‘Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutangku.’ Tetapi hamba itu tidak mempedulikan rayuan rakannya. Malah dia memerintahkan supaya rakannya dipenjarakan sehingga menjelaskan hutangnya. Hamba-hamba lain dukacita melihatnya lalu mengadukan hal itu kepada raja. Raja pun memanggil hamba yang tidak berhati perut itu lalu berkata, ‘Sungguh kejam perbuatanmu! Aku telah menghapuskan segala hutangmu kerana kamu merayu supaya aku mengampunimu. Bukankah sepatutnya kamu mengasihani rakanmu sebagaimana aku mengasihanimu?’ Dengan murkanya raja menitahkan supaya hamba yang tidak berperikemanusiaan itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dibayar. Begitulah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripadamu yang tidak mengampuni saudaranya dengan ikhlas.”