Matius 10:30-42

Matius 10:30-42 AVB

Setiap helai rambut di kepalamu telah dihitung. Oleh itu, usahlah takut; kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!” “Sesiapa mengakui-Ku di hadapan orang ramai, akan Kuakui di hadirat Bapa-Ku di syurga. Sebaliknya, sesiapa yang menyangkal-Ku di hadapan manusia, akan Kusangkal di hadirat Bapa-Ku di syurga.” “Jangan sangka Aku datang untuk membawa damai ke dunia. Aku datang bukan untuk membawa damai ke dunia melainkan pedang. Dengan kedatangan-Ku, ‘anak lelaki melawan bapanya, anak perempuan melawan ibunya, dan menantu perempuan melawan ibu mertuanya. Ahli keluarganya sendiri akan menjadi musuhnya.’ Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada-Ku, tidak layak menjadi murid-Ku. Begitu juga, sesiapa yang lebih mengasihi anaknya daripada-Ku, tidak layak menjadi murid-Ku. Sesiapa yang enggan memikul salibnya dan mengikut-Ku, tidak layak menjadi murid-Ku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangannya, dan sesiapa yang kehilangan hidupnya kerana menjadi murid-Ku akan mendapat hidupnya.” “Sesiapa yang menyambutmu, menyambut-Ku juga, dan sesiapa yang menyambut-Ku menyambut Dia yang mengutus-Ku. Sesiapa yang menyambut seorang nabi kerana dia seorang nabi, akan menerima ganjaran seorang nabi. Sesiapa yang menyambut seorang yang benar kerana dia seorang yang benar, akan menerima ganjaran seorang yang benar. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang memberikan minum walau hanya secawan air sejuk kepada seorang murid-Ku yang paling rendah pun kerana dia murid-Ku, pasti akan mendapat ganjarannya.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Matius 10:30-42