Maleakhi 2:1-9

Maleakhi 2:1-9 AVB

“Sekarang, wahai para imam, perintah ini adalah untuk kamu! Jika kamu tidak mendengar dan jika kamu tidak memperhatikannya demi memuliakan nama-Ku,” demikianlah firman TUHAN alam semesta, “maka Aku akan menimpakan kutukan atasmu dan akan mengutuk mana-mana berkat yang kamu terima. Malahan sekarang ini pun Aku memang telah mengutuk berkatmu kerana kamu tidak mengambil berat terhadapnya. Sesungguhnya, Aku akan mencela keturunanmu dan menghamburkan najis, malah kotoran daripada korban hari-hari perayaan kamu, ke mukamu, lalu kamu akan dibuang bersama-samanya. Maka kamu tahu bahawa Aku telah mengirimkan perintah ini kepadamu, agar perjanjian-Ku dengan Lewi tetap berkuat kuasa,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Perjanjian-Ku dengan dia ialah perjanjian kehidupan dan kedamaian. Semua itu Kukurniakan kepadanya supaya dia takut, lalu dia pun takut kepada-Ku dan gentar terhadap Aku dan memuliakan nama-Ku. Pengajaran yang benar ada di mulutnya dan kecurangan tidak didapati pada bibirnya. Dia mengikuti Aku dalam kedamaian dan kejujuran, serta membuat ramai orang berpaling daripada kemungkaran mereka. Sememangnya bibir imam patut memelihara ilmu pengetahuan dan orang pun patut mencari pengajaran daripada mulutnya, kerana dialah utusan TUHAN alam semesta. Tetapi kamu telah menyimpang daripada jalan. Kamu telah menyebabkan tersandungnya ramai orang dalam hal hukum, dan kamu telah melenyapkan nilai perjanjian dengan Lewi itu,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Maka Aku telah menjadikan kamu hina dan rendah di hadapan seluruh umat ini kerana kamu tidak memelihara jalan-jalan-Ku, tetapi bersikap berat sebelah dalam hal-hal hukum.”