Lukas 23:32-43

Lukas 23:32-43 AVB

Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Yesus. Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, “Tengkorak,” mereka pun menyalib Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.” Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-Nya, “Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jika Dia sesungguhnya Kristus yang dipilih oleh Allah.” Askar-askar juga memperolok-olokkan Yesus. Mereka menghampiri-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya lalu berkata, “Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah diri-Mu.” Pada sebelah atas kayu salib Yesus tertulis kata-kata: “Inilah Raja orang Yahudi.” Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula mencela-Nya. Dia berkata, “Bukankah Engkau Kristus? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!” Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati. Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.” Dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.” Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.”