Ketika askar-askar membawa Yesus ke tempat orang disalib, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simon. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Yesus dan berjalan di belakang-Nya.
Ramai orang mengikut Yesus; antara mereka beberapa orang perempuan yang menangisi dan meratapi-Nya. Yesus berpaling kepada mereka lalu berkata, “Kaum perempuan Yerusalem, janganlah tangisi Aku melainkan tangisilah dirimu dan anak-anakmu sendiri. Masanya akan datang kelak apabila orang akan berkata, ‘Diberkatilah perempuan yang tidak pernah mengandung, melahirkan dan menyusui anak!’ Pada masa itulah mereka akan berkata kepada gunung-gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit-bukit, ‘Timbuslah kami!’ Jika perbuatan begini dilakukan mereka terhadap pokok kayu yang masih hijau, apatah lagi terhadap pokok yang kering?”
Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Yesus. Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, “Tengkorak,” mereka pun menyalib Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.” Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-Nya, “Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jika Dia sesungguhnya Kristus yang dipilih oleh Allah.”
Askar-askar juga memperolok-olokkan Yesus. Mereka menghampiri-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya lalu berkata, “Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah diri-Mu.”
Pada sebelah atas kayu salib Yesus tertulis kata-kata: “Inilah Raja orang Yahudi.”
Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula mencela-Nya. Dia berkata, “Bukankah Engkau Kristus? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!”
Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati. Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.” Dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.”
Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.”
Ketika itu kira-kira jam keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan, kerana matahari berhenti bersinar. Tirai yang tergantung di dalam Bait Suci pun terbelah dua. Yesus berseru dengan kuat, “Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir.
Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, “Sesungguhnya, orang ini orang yang benar.”
Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka. Semua sahabat Yesus, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.