Aku memberikan hak kerajaan kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku. Kamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk menghakimi dua belas suku Israel.” “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mengemukakan tuntutan untuk menampi kamu seperti gandum. Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.” Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.” Yesus menjawab, “Aku berkata kepadamu, Petrus, sebelum ayam berkokok pada hari ini, kamu akan menyangkal bahawa kamu mengenal Aku sebanyak tiga kali.” Yesus berkata kepada mereka, “Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” Mereka menjawab, “Satu pun tidak.” Yesus berkata lagi, “Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah. Aku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: ‘Dia tergolong bersama dengan penjahat.’ Sebabnya apa yang tersurat tentang Aku akan terlaksana.” Murid-murid itu berkata, “Tengoklah Tuhan, di sini ada dua bilah pedang!” Yesus berkata, “Cukuplah!” Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Murid-murid-Nya pergi bersama Dia. Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.” Yesus pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa. “Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.” Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya. Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Yesus bangun daripada berdoa, dan kembali kepada murid-murid-Nya. Dia mendapati mereka tertidur kerana sangat sedih. Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.”
Baca Lukas 22
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Lukas 22:29-46
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video