Lukas 20:9-26

Lukas 20:9-26 AVB

Kemudian Yesus menceritakan ibarat ini kepada orang ramai: “Seorang menanam ladang anggur. Dia menyewakan ladang itu kepada beberapa penyewa lalu berangkat ke negeri lain dan tinggal beberapa lama di situ. Apabila tiba musim memetik, dia menyuruh seorang hamba pergi kepada para penyewa itu supaya mereka memberikan sebahagian daripada hasil ladang anggur kepadanya. Tetapi para penyewa itu memukul hamba itu lalu menyuruhnya pergi dengan tangan kosong. Dia menyuruh seorang hamba yang lain pula. Tetapi para penyewa itu memukulnya, mencercanya dan mengusirnya pergi dengan tangan kosong juga. Tuan itu menyuruh hamba yang ketiga pula. Tetapi para penyewa itu mencederakannya lalu mengusirnya. Pemilik ladang itu berkata, ‘Apakah yang hendak kubuat? Baik kusuruh anakku yang kukasihi. Tentu para penyewa itu akan menghormatinya.’ Tetapi apabila para penyewa itu melihatnya, mereka berbincang sesama sendiri, ‘Inilah warisnya. Marilah kita bunuh dia supaya ladang ini menjadi hak kita.’ Mereka pun mengusirnya keluar dari ladang lalu membunuhnya.” Yesus bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh tuan ladang anggur itu terhadap para penyewa tersebut? Sudah tentu dia akan datang dan membunuh para penyewa itu lalu menyewakan ladang anggur itu kepada orang lain pula.” Setelah orang ramai itu mendengar ibarat ini, mereka berkata, “Semoga tidak begitu!” Tetapi Yesus memandang mereka dan bertanya, “Kalau begitu, apakah maksud ayat yang tersurat ini: ‘Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru’? Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur luluh, dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk-redam.” Ahli-ahli Taurat dan ketua-ketua imam cuba menangkap Yesus ketika itu juga kerana mereka tahu ibarat itu ditujukan terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Mereka menunggu peluang. Lalu mereka mengutus beberapa orang supaya berpura-pura ikhlas untuk memerangkap Yesus dengan mengemukakan pertanyaan tertentu supaya mereka dapat menyerahkan Yesus ke dalam kekuasaan dan bidang kuasa pemerintah. Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, kami tahu apa yang Engkau katakan dan ajarkan itu betul. Guru, kami juga tahu bahawa Engkau tidak pilih kasih tetapi dengan ikhlas mengajar cara Allah berdasarkan yang benar. Wajarkah kami membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?” Yesus mengetahui niat muslihat mereka lalu berkata, “Tunjukkanlah Aku sekeping wang dinar. Gambar dan nama siapakah ini?” Mereka menjawab, “Gambar dan nama Kaisar.” Yesus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.” Mereka tidak dapat memerangkap Yesus mengenai apa yang Dia katakan di hadapan orang ramai itu. Maka mereka diam sahaja kerana kagum akan jawapan-Nya.