Lukas 2:25-38

Lukas 2:25-38 AVB

Pada masa itu ada seorang di Yerusalem yang bernama Simeon. Seorang yang salih dan takut kepada Allah, Simeon menantikan masa terhiburnya Israel. Dan dia disertai Roh Kudus. Roh Kudus telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat Kristus yang dijanjikan oleh Tuhan. Atas pimpinan Roh dia masuk ke dalam Bait Suci. Ketika Yesus, anak itu, dibawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu, Simeon mendukung Dia dan memuji Allah lalu berkata: “Ya Tuhan, sekarang biarlah hamba-Mu pergi dengan sejahtera, menurut firman-Mu: kerana mataku telah melihat penyelamatan-Mu yang telah Kausediakan di hadapan segala bangsa, satu cahaya yang akan menunjukkan jalan kepada bangsa-bangsa asing dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel.” Ibu dan bapa-Nya kagum mendengar apa yang dikatakan tentang anak itu. Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, “Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan ramai orang di Israel kelak; Dia menjadi tanda yang akan dibantahi orang supaya fikiran dalam hati mereka didedahkan. Dan jiwamu sendiri akan ditusuk oleh pedang.” Ada pula seorang nabiah yang bernama Hana anak Fanuel, daripada suku Asyer. Dia telah lanjut usianya. Sesudah berkahwin selama tujuh tahun dan hidup bersama dengan suaminya, Hana kemudian menjadi balu sehingga dia berumur lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Bait Suci, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam. Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu berkata tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan pembebasan bagi Yerusalem.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Lukas 2:25-38