Lukas 2:1-19

Lukas 2:1-19 AVB

Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk di seluruh dunia dibanci. Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria. Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri. Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nazaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Betlehem di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud. Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maria, tunangnya yang sedang hamil. Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin. Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan. Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka. Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan. Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, “Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan. Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.” Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan syurga yang besar memuji-muji Allah: “Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.” Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, “Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.” Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maria dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung. Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu. Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka; tetapi Maria menyimpan segala perkara ini dalam hatinya dan merenunginya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami